KEMENTERIAN Kementerian Kesihatan (KKM) memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di kesemua fasiliti kesihatan primer bermula hari ini.
Ia bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dengan mengambil kira masa menunggu yang lama di fasiliti KKM.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia juga membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti dan mengelak kesesakan di tempat pendaftaran serta menunggu.
Katanya, buat permulaan, ia akan dilaksanakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa bermula dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan Peka B40 dan khidmat berhenti merokok.
“Perkhidmatan ini akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat termasuk rawatan pesakit luar, pemeriksaan kesihatan pra-pekerjaan dan pra-pengajian, saringan pra-perkahwinan, perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur seperti rawatan luka serta penukaran tiub.
“KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan supaya sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM menerusi Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baca artikel lain: Kementerian Kewangan pertimbang bina rumah mesra rakyat kepada mangsa banjir
Dr Zaliha berkata, antara kelebihan sistem janji temu secara dalam talian ini termasuk pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.
Selain itu, katanya, mereka boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.
Ujarnya, sistem ini juga mempunyai fungsi peringatan automatik yang memberi peringatan kepada pengguna untuk menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh ditempah.
Bagaimanapun, katanya, bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat janji temu.
“Kita berharap dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan ini, program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer dapat dihebahkan kepada orang awam dan menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram