WALAUPUN menanggung kerugian ratusan juta ringgit, namun nasib lebih 500 pekerja gedung Jakel Shah Alam yang terlibat dalam kebakaran semalam tidak akan diabaikan.
Jaminan itu disuarakan sendiri Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel dalam kenyataan.
Menurut Mohamed Faroz, pihaknya akan tetap membayar gaji lebih 500 pekerja di gedung tersebut meskipun premis berkenaan tidak beroperasi seperti biasa.
“Jakel akan tetap membayar gaji semua kakitangan kami di gedung ini, itu adalah komitmen saya kepada mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Faroz memaklumkan, kejadian kebakaran premis yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu turut melibatkan barangan jualan persiapan Ramadan dan hari raya pada tahun ini.
Beliau berkata, ia melibatkan bangunan lima tingkat dan tiga tingkat seluas 80,000 kaki persegi dengan dianggarkan melibatkan kerugian ratusan juta ringgit.
“Buat sementara ini, operasi perniagaan akan tergendala dan kita merancang mencari tapak perniagaan baharu di sekitar Shah Alam.
Baca artikel berkaitan: Wisma terbakar, kerugian awal Jakel dianggar RM100 juta
“Buat masa ini, pelanggan diminta berkunjung ke Jakel Bangi, Jakel Bandar Tun Hussein Onn atau Jakel Mall Kuala Lumpur bagi mendapatkan barang-barang keperluan seharian dan hari raya tidak lama lagi,” jelas beliau.
Mohamed Faroz turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak bomba yang segera ke lokasi dan bertungkus lumus memadamkan kebakaran selain polis yang mengawal keselamatan setempat.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kebakaran yang berlaku di Wisma Jakel Shah Alam itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Beliau berkara, kebakaran yang memusnahkan 80 peratus bangunan Wisma Jakel yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam itu bagaimanapun tidak melibatkan kehilangan jiwa.
Namun begitu, Mohd Iqbal memaklumkan, jumlah kerugian masih belum diketahui.
Mohd Iqbal turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berhenti di tepi jalan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

