
SEORANG pengarah syarikat pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 18 pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan harta berjumlah RM602,000.
Tan Siew Moi, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut enam pertuduhan utama, beliau selaku pengarah Syarikat Rekabina Construction Sdn Bhd menyalahgunakan harta untuk dirinya iaitu wang RM382,000 daripada akaun OCBC Al-Amin milik syarikat di bank sama antara 3 Disember 2020 hingga 8 Oktober 2021.
Berita Harian melaporkan, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi enam pertuduhan pilihan, wanita itu didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang syarikat berjumlah RM382,000 melalui cek atas namanya, pada tarikh sama.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 405 dan 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda.
Sementara itu, Siew Moi dan suaminya, Tan Ching Peng, 60, didakwa atas tiga pertuduhan utama kerana menyalahgunakan harta atas nama Ching Peng berjumlah RM220,000 daripada akaun OCBC Al-Amin milik syarikat.
Ching Peng mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Rozilah.

Baca artikel lain: Langkah London jauh sangat, kata Anwar
Kesalahan didakwa dilakukan di bank itu di Kota Kemuning antara 21 Disember 2020 hingga 30 September 2021.
Pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa kepada hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Mengikut tiga pertuduhan pilihan, pasangan itu sebagai penandatangan cek bagi akaun OCBC Al-Amin atas nama syarikat itu, melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran wang melalui cek dengan jumlah sama atas nama tertuduh pada tarikh sama.
Kesalahan mengikut Seksyen 405 dan 406 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairudin, mengesyorkan jaminan RM10,000 masing-masing terhadap pasangan itu bagi setiap pertuduhan.
Susulan itu, peguam bela pasangan terbabit, Asmadi Hussin, memohon jaminan minimum, selain mengesahkan kakak ipar Ching Peng dan anak bongsu mereka hadir sebagai penjamin.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh wanita diikat jamin RM80,000, manakala RM30,000 bagi suaminya dengan syarat tambahan seperti dimohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram