Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi suntikan semangat baharu kepada penjawat awam apabila memberi kebebasan kepada mereka membuat laporan jika terdapat pegawai atasan mengarahkan mereka melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan.

Beliau memberi ingatan tegas kepada penjawat awam jika mereka mengesan sebarang salah laku berhubung urusan kerajaan, jangan teragak-agak membuat laporan sekali pun perkara itu melibatkan perdana menteri.

Jika ada minit mesyuarat, sekalipun datang daripada perdana menteri, tetapi didapati melanggar peraturan dan undang-undang, beliau hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu, apa lagi jika arahan itu datang daripada pejabat timbalan perdana menteri dan menteri.

Selama ini jika seorang pegawai bawahan diarah oleh pegawai atasan melakukan sesuatu yang melanggar peraturan, secara lisan atau dalam kertas minit mesyuarat, kerap kali mereka menurut sahaja.

Mereka sekadar mampu memendam rasa. Jarang ada yang berani mempertikai atau ingkar arahan berkenaan atas faktor tidak mahu menyusahkan diri. Jika ada yang berani pun, adakah bantahan akan dilayan?

Ramai hanya berdiam diri kerana sedar implikasi yang bakal ditanggung. Hubungan dengan ketua menjadi tidak mesra. Jika pegawai atasan itu yang menilai prestasi, kemungkinan dia akan memberi penilaian buruk. Berkemungkinan juga yang membantah itu akan dipindah ke tempat lain.

Dalam kedaan sebegini, pegawai atau pekerja bawahan kerap menjadi mangsa keadaan, melakukan sesuatu di luar kerelaaan. Kasihan, mereka berada di persimpangan antara kejujuran dan paksaan.

Justeru kenyataan perdana menteri dipercayai mampu mengubah senario ini. Ia ibarat cahaya di hujung terowong. Selama ini penjawat awam diselimuti ketakutan jika ingin melaporkan sesuatu yang menyalahi tata cara pentadbiran. Namun jaminan Anwar menghapus kebimbangan ini.

BERITA BERKAITAN Tegak integriti, tolak amalan rasuah untuk realisasi perancangan kemajuan negara – PM

Perdana menteri menekankan perkara tersebut setelah mendapati banyak fail, terutama daripada Kementerian Kewangan, mengandungi banyak kes salah laku. Beliau faham, tidak harus menyalahkan pegawai kerajaan yang terpaksa patuh kepada minit yang dicatatkan oleh menteri, apatah lagi jika daripada perdana menteri.

Kini arahan Anwar sudah jelas. Jika ada minit mesyuarat, sekali pun daripada pegawai tinggi, menteri dan timbalan perdana menteri yang bercanggah dengan peraturan dan undang-undang, laporan mesti dibuat.

Cuma adakah pegawai bawahan perlu menyalurkan maklumat melalui pegawai atasan yang mengeluarkan arahan? Jika ini situasinya, dibimbangi laporan mungkin terhenti di tengah jalan.

Namun jika maklumat disalurkan terus kepada perdana menteri, tentu penjawat awam merasa lebih selesa dan selamat. Sebarang kemungkinan ‘sekatan’ dalam penyaluran laporan dapat diatasi dan tindakan pantas boleh diambil. Cara ini lebih efektif di samping mengelakkan pegawai bawahan ditekan oleh pegawai atasan.

Langkah ini juga sebagai amaran serta peringatan kepada pegawai atasan, termasuk menteri bahawa tingkah laku mereka diawasi. Justeru jangan sewenang-wenang memberi arahan yang tidak mematuhi tata kelola dan peraturan kerana apa yang mereka lakukan akhirnya sampai ke pengetahuan perdana menteri.

Ini sejajar dengan janji perdana menteri untuk tidak membenarkan amalan rasuah di dalam pentadbiran. Beliau mahu semua pihak, termasuk ahli politik, bekerjasama memastikan negara tidak dicemari rasuah dan salah guna kuasa.

Kerana itu beliau membuka ruang dan peluang kepada penjawat awam supaya tidak takut menyanggah unsur tersebut yang cuba ditekankan oleh pihak atasan ke atas mereka.

Penjawat awam memang sentiasa terdedah kepada pujukan rasuah dalam melaksanakan tanggung jawab masing-masing. Yang menjadi garis pemisah ialah mahu atau tidak mahu. Golongan yang berprinsip tidak akan mahu terlibat atau bersekongkol dengan perbuatan keji itu.

Namun masih ramai yang mudah tergoda, daripada peringkat atasan sehinggalah pegawai kecil, sehingga memberi nama buruk kepada perkhidmatan awam keseluruhannya. Amalan itu semacam sudah menjadi sebati hingga sukar melepaskan diri daripada belenggu rasuah.

Amalan inilah yang hendak dibanteras oleh perdana menteri. Rasuah memberi imej buruk kepada kerajaan dan menghakis kepercayaan orang ramai, malah pelabur luar. Betapa tidak apabila sesuatu projek atau kerja akan hanya bergerak sekiranya ada ‘pelincir’.

Kini perdana menteri telah membuka pintu memberi kebebasan kepada penjawat awam membantu mengekang amalan rasuah dan salah guna kuasa. Diharap lebih ramai berani tampil mendedahkan penyelewengan. Biar mereka yang terkena tempias terasa bahang panasnya.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram