Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) hari ini. GAMBAR: Pejabat Perdana Menteri

KERAJAAN mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam merangka Belanjawan 2023 yang akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemah dan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat.

Perkara itu ditekankan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama tahun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, langkah tersebut akan dilaksanakan walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berhadapan ketidaktentuan prospek global.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, hutang dan liabiliti kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), tahun lalu.

Katanya, kadar hutang itu berdasarkan nisbah khidmat hutang yang dijangka melebihi 15 peratus daripada hasil.

“Belanjawan 2023 akan mencerminkan pertanggungjawaban Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan pertumbuhan, pengagihan saksama dan keadilan sosial.

“Ini adalah selaras dengan konsep pembangunan Malaysia Madani supaya kemajuan ekonomi memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.

“Kerajaan akan mengekalkan dasar fiskal mengembang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan juga komited untuk melaksanakan langkah mengurangkan defisit secara berperingkat serta memastikan nisbah hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan kurangkan elaun pembangunan Ahli Parlimen – PM

Mengulas lanjut, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari ini akan turut merangkumi langkah-langkah menggalakkan pelaburan sektor swasta dan reformasi sektor awam.

Jelasnya, ia bertujuan mengurangkan birokrasi, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menambah baik tatakelola kerajaan.

“Belanjawan ini juga akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan bagi menggalakkan pembangunan yang inklusif terutama melalui pemerkasaan perkhidmatan kerajaan dan infrastruktur luar bandar,” katanya.

Jawatankuasa Dasar Fiskal dianggotai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, ia turut dianggotai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram