‘Najib pandang tepat ke mata saya beritahu tak kenal Altantuya’, kata Muhammad Shafee

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui tidak pernah berjumpa atau pun mengenali wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dengan kejam 17 tahun lalu.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat pendedahan itu ketika menjadi tetamu dalam podcast Keluar Sekejap kendalian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Menurut Muhammad Shafee, beliau bertanyakan soalan itu kepada Najib mengenai khabar angin kononnya bekas Ahli Parlimen Pekan itu pernah minum pagi bersama penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan Altantuya.

“Najib pandang tepat ke mata saya dan kata tak kenal siapa wanita itu.

“Tidak pernah berjumpa dan tidak pernah berada di hotel yang sama atau di mana-mana pun dengan wanita itu,” katanya.

Sebelum itu, peguam terkemuka itu memberitahu, beliau bertanyakan kepada Abdul Razak tentang siapa Altantuya ini kepada penganalisis politik itu sehingga membuatnya sedikit berang.

“Pada satu ketika saya mewakili (Abdul) Razak Baginda mengenai jaminan dia. Oleh sebab itu, saya terpaksa tanya macam-macam soalan sampai beliau marah dengan saya kerana soalan saya terlalu mendesak.

“Saya perlu tahu perkara sebenar sebelum bertindak. Jadi saya tanya dia Altantuya ini siapa kepada kamu. Jawapan dia sama dengan jawapan di mahkamah. Dia kata Altantuya adalah teman wanitanya tetapi beliau tidak akan memperkenalkannya kepada bosnya.

“Saya tanya siapa bos kamu? Dia (Abdul Razak) kata Najib. Dia kata boleh anda bayangkan jika saya perkenalkan wanita ini kepada bos saya, saya akan berasa malu.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, sepanjang perbicaraan kes pembunuhan di Mahkamah Tinggi, nama Najib tidak pernah disebut langsung.

Baca artikel lain: Sirul Azhar belum buat permohonan semakan hukuman mati

Katanya, perbicaraan itu hanya melibatkan tiga individu iaitu Abdul Razak dan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.

“Pada akhir perbicaraan, pertuduhan terhadap Abdul Razak digugurkan kerana tidak cukup bukti manakala Sirul Azhar dan Azilah dipanggil membela diri serta didapati bersalah,” katanya.

Mengulas mengenai kononnya penglibatan Altantuya sebagai penterjemah dalam proses perundingan penjualan kapal selam, Muhammad Shafee menyifatkan dakwaan itu sebagai karut kerana tiada rekod langsung bahawa wanita Mongolia itu pernah masuk ke Perancis.

Malah, kata beliau, kedua-dua syarikat di Perancis yang dikatakan terlibat dalam penjualan kapal selam itu mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif yang berasal dari United Kingdom sekali gus boleh berbincang dalam bahasa Inggeris.

“Secara kebetulan saya bertindak sebagai peguam bagi beberapa pihak yang terlibat dalam urusan jual beli kapal selam itu, pada masa itu anak guam saya ke Bangkok untuk menghadiri perbicaraan atas sebab kesihatan yang tidak membolehkannya ke Perancis.

“Melalui rekod di Perancis, Altantuya tidak pernah masuk ke Perancis, jadi cerita bahawa wanita itu menjadi konsultan semuanya karut.

“Kedua-dua syarikat di Perancis itu dimiliki oleh warganegara United Kingdom, ahli lembaga pengarah juga ramai dari United Kingdom jadi tidak memerlukan penterjemah,” katanya.

Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan Abdul Razak, yang juga sekutu rapat Najib, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Warga Mongolia yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses perundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Najib pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, Sirul Azhar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah Hadri ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

6 termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan lori muatan tanah di Sungai Petani

ENAM maut termasuk seorang bayi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan...

More Articles Like This