Bekas penolong setiausaha Kementerian Pengangkutan didakwa terima suapan RM2,300

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

SEORANG bekas Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,300.

Wang itu diterima daripada seorang pengurus sebuah syarikat antara Februari sehingga Mei, empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Hafiz Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa sebagai seorang penjawat awam gred M44 di Kementerian Pengangkutan telah menerima barangan bernilai dengan tiada balasan iaitu wang berjumlah RM2,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan menerusi akaun bank milik tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh, yang mana dia ketahui syarikat pembinaan berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tertuduh yang kini bertugas di bahagian sumber manusia di Kementerian Pendidikan didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur masing-masing pada 20 Februari 2020, 15 April 2020 dan 21 Mei 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara.

Zahariman turut mencadangkan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan.

“Jumlah jaminan yang ditawarkan itu adalah munasabah untuk mengikat dan menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah. Jumlah itu juga tidak bersifat menghukum atau berlebihan,” hujahnya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hazman Ahmad memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 selain membantah cadangan pihak pendakwaan berhubung syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Jumlah yang ditawarkan itu terlalu tinggi jika mahkamah mahu mempertimbangkan syarat tambahan jaminan ke atas tertuduh. Mohon jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 sahaja.

“Tiada keperluan untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana tiada bukti dan tindak tanduk yang menunjukkan tertuduh mahu melarikan diri.

“Bagaimanapun pihak pembelaan tiada bantahan terhadap cadangan syarat tambahan untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM,” kata peguam itu.

Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin warganegara selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan digesa tangguh TURAP, bimbang monopoli baharu pengambilan pekerja asing

TUJUH Ahli Parlimen kerajaan menggesa pelaksanaan Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP) ditangguhkan. Penangguhan itu sehinggalah kerajaan memberi penjelasan menyeluruh kepada...

More Articles Like This