Kes Siti Bainun: Keputusan rayuan sabitan abai, aniaya Bella diketahui 24 April ini

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 April depan bagi keputusan rayuan sabitan bersalah yang dijatuhkan terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down, Bella.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin selepas pihak pembelaan dan pendakwaan selaku responden selesai membuat hujahan lisan di hadapan beliau.

“Mahkamah telah meneliti kesemua hujahan lisan daripada kedua-dua pihak, maka saya akan beri alasan penghakiman ringkas pada 24 April depan itu,” kata Noorin.

Terdahulu ketika prosiding, Peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun selaku perayu berhujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini telah terkhilaf dalam mensabitkan anak guamnya atas dua pertuduhan.

Haijan menghujahkan demikian ekoran pertuduhan baharu tidak dibacakan terhadap Siti Bainun termasuk pengakuannya tidak direkodkan selepas terhadapnya dipinda.

Baca: Berat Siti Bainun ‘susut’ 60 kg sejak jejak kaki ke tirai besi

Selain itu, peguam tersebut berhujah bahawa hak anak guamnya itu diperjudiskan apabila pernah tidak diwakili peguam pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Siti Bainun telah meminta penangguhan prosiding kerana dia tidak diwakili peguam, namun permohonan itu ditolak malah disuruh membela diri dengan membaca pernyataan saksi.

“Bagaimanapun, kenyataan saksi itu dibantah oleh responden (pendakwaan),” katanya.

Selain Haijan Omar, turut bersama-sama mewakili Siti Bainun ialah Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Sementara itu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin bertindak sebagai responden.

Ketika disoal oleh Hakim Noorin berhubung  bilangan hari Siti Bainun tidak diwakili oleh peguam, Zahida Zakaria memberitahu bahawa wanita itu tidak diwakili pada dua prosiding di Mahkamah Sesyen. 

Noorin kemudian menyoal Haijan Omar mengapa Siti Bainun tidak membantah berhubung perkara itu, beliau memaklumkan bahawa Siti Bainun tidak mengetahui cara-cara untuk membantah.

“Bukan itu sahaja, pendakwaan juga tidak memanggil saksi yang menyaksikan kejadian, iaitu dua remaja dikenali sebagai Aida dan Balqis.

“Beban pembuktian untuk memanggil saksi itu ialah terletak di bahu pendakwaan, bukannya pembelaan,” hujahnya lagi. 

Katanya lagi, remaja perempuan berkenaan telah memberi keterangan yang bercanggah mengenai kejadian yang menimpa Bella, ketika siasatan dijalankan, dengan laporan polis dibuat.

Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin kemudian menghujahkan bahawa  kedua-dua remaja berusia 14 dan 16 tahun ketika dalam jagaan Siti Bainun itu tidak dipanggil memandangkan mereka merupakan saksi kanak-kanak.

Dalam pada itu hujah beliau, keterangan kedua-dua remaja ketika disoal siasat di lokasi kejadian Bella diabai dan dianiaya sudah mencukupi justeru tiada keterangan lain diperlukan. 

Pada 3 Mei tahun lalu, UtusanTV melaporkan Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mahkamah juga memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Mahkamah turut mengarahkan Siti Bainun untuk melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Baca: Abai, aniaya Bella: Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun

Pada 23 Mei 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara kerana tiada keadaan khas mewajarkan pengasas Rumah Bonda itu dilepaskan sementara menunggu rayuan sabitan serta hukuman didengar.

Ini bermakna wanita berusia 31 tahun itu kekal dipenjarakan sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Parlimen dijangka dibubar selepas pembentangan Belanjawan – Penganalisis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membubarkan Parlimen pada bulan November iaitu selepas pembentangan Belanjawan 2027, Oktober depan. Pengarah...

More Articles Like This