KENYATAAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung tawaran habuan kepada Ahli Parlimen tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah dan tidak termasuk dalam keistimewaan perlindungan imuniti Parlimen.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berpandangan bahawa SPRM tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Katanya, sebagai sebuah pertubuhan bersifat non-partisan, MCW ingin memberi pandangan berdasarkan fakta dan undang-undang sedia ada, bukannya polemik serta manipulasi fakta.
Beliau berpandangan, Azam hanya memberi kenyataan supaya Wan Saiful membuat aduan atau laporan sekiranya benar beliau ditawarkan rasuah.
Menurut Jais, pendedahan Wan Saiful di Parlimen mengenai dakwaan tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membuatkan beliau bertanggungjawab membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Merujuk kepada keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan Imuniti Parlimen, sepertimana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3), ia sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.
“Perkara 63 (2) menyatakan dengan jelasnya: “Tiada seorangpun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya”,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jais menegaskan, SPRM boleh bertindak secara proaktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu.
Sehubungan itu, beliau berkata, menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
Baca artikel lain: Berisiko digantung 6 bulan, Wan Saiful tarik balik kenyataan dakwa PM korup
Katanya, Seksyen 7(a) Akta SPRM pula menetapkan bahawa pegawai-pegawai suruhanjaya itu mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan rasuah serta menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya.
“Apa-apa perkara yang dibangkitkan berkaitan isu atau perkara melibatkan rasuah, SPRM boleh bertindak demi menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai agensi utama yang memerangi rasuah selari dengan peruntukan undang-undang.
“MCW berharap ahli-ahli politik tidak memanipulasi fakta dan undang-undang yang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat dan mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi serta peranan agensi penguatkuasa negara,” katanya.
Sabtu lalu, Hamzah menegaskan SPRM tidak perlu terlibat dengan pendedahan yang dibuat ahli Parlimen pembangkang membabitkan tawaran habuan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, semua ahli Parlimen termaktub dalam Akta Kuasa dan Keistimewaan Ahli Parlimen 1952 yang menetapkan bahawa ahli Parlimen mempunyai hak serta imuniti di Dewan Rakyat.
Sebelum itu, SPRM memberi tempoh seminggu kepada Wan Saiful untuk tampil memberi keterangan susulan pendedahan beliau menerima tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri.
Azam memaklumkan, sekiranya ahli Parlimen tersebut tidak berbuat demikian, satu tindakan terhadapnya akan diambil.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

