KELANTANGAN Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah disifatkan mewakili suara hati seluruh umat Islam di negara ini.
Malah, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan kelantangan Dr Muhamad Akmal itu mempunyai asas konkrit.
Menurut Ab Rauf, ia kerana isu tersebut jelas mengguris perasaan ramai pihak.
“Sebenarnya isu kalimah Allah yang diletakkan di stoking ini memang mengguris hati rakyat Malaysia yang beragama Islam kerana kita seharusnya menghormati hak agama masing-masing.
“Kelantangan Dr Akmal ini mewakili orang Melayu (dalam) menyuarakan suara hati orang Islam yang terguris dalam kebiadaban syarikat yang mencetak dan menjual (stoking kalimah Allah) yang mana soal politik tidak mengubah pendirian kita tentang agama,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka Bagi Daerah Melaka Tengah Tahun 2024, di Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam.
Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan isu kontroversi melibatkan stoking tertera kalimah Allah itu perlu diselesaikan secara pragmatik dan tidak diambil mudah.
Baca artikel lain: Stoking kalimah Allah: “Tak sepatutnya berlaku dalam perniagaan sebab keji sangat” – Sebagai umat Islam, Shuib tak sokong perkara yang langgar peraturan
Pada masa sama, beliau berkata, perkara sedemikian sepatutnya tidak berlaku di negara ini atas dasar kesepakatan konteks sosial untuk saling menghormati.
“(Apabila) kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul memang ianya menyinggung hati orang Islam kerana soal agama ini amat sensitif,” jelasnya.
Sebelum ini, kelantangan Dr Muhamad Akmal berhubung isu tersebut mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Anthony menyatakan pendirian parti itu tidak bersetuju dengan gesaan memboikot kedai serbaneka KK Mart.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan dilaporkan berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ab Rauf.
Bagaimanapun, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tetap tidak berganjak daripada desakan untuk memboikot KK Mart berhubung kontroversi tersebut.
Jelas Dr Muhamad Akmal, beliau tidak memerlukan persetujuan DAP untuk melakukan perkara tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

