PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali pesawat untuk memantau secara berterusan perkembangan meteorologi, notis serta maklumat-maklumat berkaitan debu gunung berapi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, langkah itu penting ekoran dari letusan Gunung Ruang, Manado, Sulawesi Utara, Indonesia yang mula meletus pada pukul 9.45 pagi, dua hari lalu.
Jelas beliau, CAAM telah mengeluarkan Maklumat Keselamatan berkenaan Amaran Bahaya Debu Gunung Berapi di Sulawesi Utara, Indonesia yang telah memberi impak kepada operasi penerbangan di Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.
“Kesan letusan ini telah menyebabkan terbentuknya awan debu yang bergerak menuju ke FIR Kota Kinabalu yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pesawat di ruang udara berkenaan.
“Orang ramai yang terlibat bagi penerbangan melibatkan kawasan berkenaan juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan mengenai perkembangan letusan gunung berapi dan status terkini jadual penerbangan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Malaysia Airlines dan AirAsia telah mengambil langkah untuk membatalkan beberapa penerbangan Kuala Lumpur ke Sabah/Sarawak dan dari Sabah/Sarawak ke Kuala Lumpur, hari ini.
Untuk rekod, sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.
Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak semalam.
Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

