PARA pelajar yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon untuk melanjutkan pengajian ke 232 cawangan GiatMARA di seluruh negara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) boleh membantu melatih kemahiran pelajar-pelajar berkenaan sehingga ke peringkat tertinggi.
Katanya, GiatMARA menawarkan pelbagai tahap sijil kemahiran di 232 pusat seluruh Malaysia.
Menurut Asyraf Wajdi, syarat kemasukan hanya memerlukan 3M iaitu Menulis, Membaca dan Minat dalam bidang yang dipilih.
Jelas beliau, antara kursus yang mempunyai permintaan yang tinggi adalah kursus teknologi automotif, pendawaian elektrik, masakan serta pramusaji , fesyen teknologi dan lain-lain.
“Dengan pensijilan GiatMARA, lepasan pelatih boleh meneruskan kerjaya sama ada terus bekerja, menjadi usahawan dan melanjutkan pelajar dalam bidang TVET sehingga ke peringkat tertinggi dan mendapat sijil professional.
“Sebagai contoh dalam bidang pendawaian elektrik, pelatih laluan terendah dengan hanya tamat tingkatan 5 meneruskan pengajian ke Sijil Kompeten PW2.
“Bukan itu sahaja para pelatih ini boleh menyambung pengajian ke IKM selama dua tahun di peringkat diploma dalam Sijil Chargeman B0 yang menawarkan gaji bermula RM7,000 dan boleh menaiktaraf pensijilan selama dua tahun ini ke peringkat Chargeman B4 yang menawarkan gaji bermula RM12,000-RM15,000,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Untuk rekod, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajid berkata, GiatMARA telah mengenal pasti bidang-bidang baharu yang diperlukan di pasaran.
Jelas beliau, antaranya termasuk bidang-bidang berteknologi tinggi seperti kecederasan buatan (AI), IOT, Robotik, Electrical Vehicle (EV) dan Renewable Energy Vehicle (REV).
Menurut Asyraf Wajdi, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama rapat dengan pemain-pemain industri agar tenaga mahir yang dilatih di GiatMARA terjamin peluang pekerjaan.
“Malah GiatMARA sedang membuat kajian secara holistik semua programnya agar berdaya maju dan mampu menyediakan tenaga mahir mengikut piawaian pasaran dan industri di peringkat antarabangsa.
“Ini selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memastikan TVET menjanjikan gaji premium kepada anak2 muda dan menjadi pilihan utama kerjaya masa depan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

