KERAJAAN digesa mewujudkan mekanisme pemantauan komprehensif bagi memastikan keberhasilan di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 menjadi titik tolak kepada pengukuhan governans, pembudayaan integriti serta pencegahan rasuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, perjuangan memerangi rasuah mesti dijiwai oleh setiap belia di negara ini dan jangan ia tinggal ikrar semata-mata.
Justeru, katanya pendedahan awal berkaitan pendidikan pencegahan rasuah perlu menjadi keutamaan kerajaan dalam menyebar luas mesej antirasuah di semua peringkat akar umbi.
“Inisiatif membanteras rasuah seharusnya bermula dengan peranan para ibu bapa di rumah, disusuli dengan peranan tenaga pengajar di peringkat sekolah dan universiti.
“Usaha sama merentas kementerian dengan Rasuah Busters juga berupaya mendukung aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kesedaran pelajar tentang nilai integriti dan antirasuah.
“MASA berharap kerajaan akan terus mempergiat jalinan kolaborasi dengan organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan untuk menggerakkan jelajah antirasuah dan program-program kesedaran secara meluas ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Azril menambah, pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga pastinya membuka peluang untuk mendekati golongan belia di luar sistem pendidikan formal dalam usaha pencegahan dan pendidikan antirasuah.
Katanya, tindakan mewajarkan atau memberi justifikasi kepada amalan rasuah hanya akan menjadi benih yang akhirnya menjadi sistemik dalam masyarakat.
“Justeru, kerajaan perlu menterjemahkan iltizam politik dalam menganjak strategi pencegahan rasuah serta memperkasa pendidikan antirasuah agar hasrat Malaysia menduduki tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2033, dapat dikecapi.
“Tiba masanya kita berganding bahu ke arah menjayakan agenda negara sifar rasuah kerana setiap tindakan kecil mampu membawa kepada perubahan yang positif,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

