KURIKULUM baharu bagi subjek Sejarah di sekolah sedang dalam proses penggubalan dan dijangka mula digunakan pada tahun 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan, kurikulum baharu itu dirangka dalam usaha berterusan meningkatkan keberkesanan pendidikan Sejarah.
Menurut beliau, penambahbaikan tersebut bertujuan memastikan kandungan Sejarah lebih komprehensif, seimbang serta mampu melahirkan murid yang bukan sahaja berpengetahuan luas tetapi turut mempunyai jati diri yang kukuh sebagai warganegara Malaysia.
Beliau berkata, kali terakhir kurikulum Sejarah disemak adalah melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Fadhlina memberitahu, kurikulum mata pelajaran Sejarah dirangka bagi membolehkan murid memahami tingkah laku manusia, sebab dan akibat sesuatu peristiwa serta menghayati keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara.
“Matlamat utama kurikulum ini adalah untuk melahirkan generasi yang patriotik, menjunjung prinsip demokrasi serta memiliki kesedaran kebangsaan yang tinggi.
“Selain itu, ia juga bertujuan memberikan kefahaman yang mendalam mengenai sejarah masyarakat, negara Malaysia dan dunia sekali gus memupuk dan memperkukuh identiti serta semangat setia negara,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang mahu tahu bila kali terakhir kandungan pelajaran subjek Sejarah diperbaharui dan apakah ciri-ciri utama penambahbaikan tersebut memandangkan Sejarah adalah subjek amat penting dalam meningkatkan penghayatan patriotisme dalam kalangan pelajar.
Baca artikel lain: KPM, DBP sokong pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam undang-undang – Fadhlina
Sebagai langkah penambahbaikan, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi penekanan kepada keseimbangan dalam kandungan kurikulum Sejarah dengan memasukkan unsur sejarah budaya, sosial, kesenian dan sukan bagi mengimbangi kandungan sejarah politik yang sedia ada.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memberikan gambaran yang lebih holistik mengenai warisan dan kejayaan negara selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan murid.
Pada masa sama, jelasnya, skop sejarah dunia turut diperluas dengan memasukkan isu-isu antarabangsa yang relevan.
Selain itu, Fadhlina menjelaskan, kandungan sejarah Sabah dan Sarawak juga telah dimasukkan secara seiringan dengan negeri-negeri lain dalam usaha memupuk integrasi nasional.
“Ini bertujuan memberikan perspektif yang lebih menyeluruh mengenai sejarah Malaysia serta menonjolkan peranan dan sumbangan tokoh-tokoh tempatan dalam pembinaan negara.
“Langkah ini diharap dapat memperkukuh lagi kesatuan rakyat Malaysia melalui pemahaman yang lebih mendalam tentang kepelbagaian warisan negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

