PEMETERAIAN kerjasama dengan sebuah syarikat pereka seni bina cip terbesar di dunia bakal meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.
Pada masa sama, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melihat kerjasama itu sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem teknologi negara.
Dengan termeterainya perjanjian kerjasama itu, Tunku Nashrul memaklumkan, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat itu.
Jelas beliau, ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab utama di ASEAN, malah menjadi negara pertama di rantau ini di mana syarikat tersebut akan membuka pejabatnya.
Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan.
Baca artikel lain: PM turun ke beberapa negeri minggu depan, agenda noktah miskin tegar kekal keutamaan
Menurut Tunku Nashrul, ia akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri teknologi negara.
“Petang ini, Malaysia bakal melakar sejarah dalam industri teknologi global apabila Perdana Menteri akan meluncurkan satu kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat yang berpangkalan di United Kingdom (UK) yang bakal mengubah landskap kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor negara.
“Pemeteraian kerjasama dengan syarikat pereka seni bina cip terbesar di dunia ini adalah hasil inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.
“Peluncuran dan pemeteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur-pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan MADANI dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di Facebook Anwar dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Malaysia.
Pada 28 Februari lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, ARM Holdings Plc, syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari UK telah menyatakan hasrat mahu berpangkalan di Malaysia dan akan menandatangani perjanjian minggu ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah membincangkan perkara itu dengan ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut secara dalam talian yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son.
SoftBank merupakan syarikat pemegangan pelaburan multinasional terkemuka Jepun.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

