MENTERI Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun dicabar untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Cabaran itu dilontarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker kerana Aminuddin merupakan ‘bapa angkat’ DUN berkenaan.
Mohamad Hanifah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu berkata, beliau bersedia untuk menentang Aminuddin sekaligus memastikan PN mengambil alih Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang.
“Menteri Besar jadikan Labu ini sebagai DUN angkat. Jadi saya rasa lebih baik beliau bertanding di Labu pada pilihan raya akan datang.
“Biar Pengerusi PKR berlawan dengan Pengerusi PN di Labu, saya sedia tidak akan lari ke mana-mana. Insya-ALLAH kami (PN) akan mengambil alih Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut mengenai PRU16, Mohamad Hanifah berkata, beliau yakin PN akan kembali merampas kerusi PKR di DUN Sikamat, Ampangan dan Kuala Pilah.
Hal itu menurut beliau selepas mengambil kira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu yang menunjukkan PN kalah dengan majoriti yang tidak begitu besar.
“Di Kuala Pilah, PN lawan 1-1 dengan PKR dan kami hanya kalah 1,079 undi sedangkan di kawasan Melayu, kami menang hampir semua PDM.
“Di Ampangan, kita kalah hanya dengan 329 majoriti dan di Sikamat beza 2,122 undi saja dan sebab itu, kami yakin merampas ketiga-tiga kerusi ini,” katanya.
Selain itu katanya, PN turut menyasarkan merampas dua kerusi DUN di Parlimen Port Dickson yang salah satunya DUN Sri Tanjung.
Dalam pada itu ujar Hanifah, melihat kepada situasi politik terkini, beliau yakin pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.
“Melihat situasi terkini, mustahil kerajaan nak tunggu lebih lama, bermaksud mereka mencari maut.
“Kami PN dan Bersatu sentiasa bersiap sedia kalau pilihan raya berlaku pada bila-bila,” katanya.
Pada PRN lalu, Aminuddin menang dalam pertembungan empat penjuru di DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 manakala Mohamad Hanifah menang di DUN Labu dengan majoriti 1,640 dalam pertembungan dua penjuru.

