KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan inisiatif penandaan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti bermula esok.
Menteri terbabit Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan bersama berkata, kerjasama ini sejajar dengan komitmen untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
Jelas mereka, inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
“Fasiliti terlibat adalah semua kemudahan jagaan kesihatan swasta yang tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] yang menjual, membekalkan atau memberikan ubat-ubatan serta farmasi komuniti.
“Skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi atau tidak, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan dibancuh,” katanya hari ini.
Kata mereka lagi, penandaan harga hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai atau tanda, selain ubatan yang dipamerkan untuk jualan dan boleh diakses oleh pengguna hendaklah dilabel, teg atau diletak tanda harga pada ubat tersebut.
Tambah dua menteri berkenaan, ubat tak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter yang tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula hendaklah dipaparkan dalam bentuk senarai harga jualan.
Baca artikel lain: Polis siasat perselisihan faham datangkan kecederaan babit bekas isteri, isteri pempengaruh media sosial
“Senarai harga jualan ubat boleh dipaparkan dalam bentuk fizikal di fasiliti kesihatan terlibat, dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.
“Fasa awal pemantauan dan penguatkuasaan perintah ini akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa untuk tempoh tiga bulan.
“Langkah ini diambil untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan secara berhikmah, ihsan dan berkesan, bagi membolehkan setiap fasiliti kesihatan swasta membuat penyesuaian dan pembaharuan secara berperingkat,” katanya.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly dan Armizan menegaskan, pemeriksaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan pendekatan advokasi bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini.
“Penguatkuasaan penandaan harga ubat-ubatan akan dilaksanakan oleh KKM dengan panduan dan kerjasama KPDN.
“Untuk maklumat lanjut, soalan lazim boleh diakses melalui portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, KKM di www.pharmacy.gov.my. Sebarang persoalan, boleh diemelkan ke alamat [email protected].
“Sementara itu, sebarang aduan pengguna berkaitan isu harga ubat boleh disalurkan melalui platform-platform berikut:cSistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM https://moh.spab.gov.my; atau Portal eAduan KPDN: https://eaduan.kpdn.gov.my/,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

