MALAYSIA bersedia memainkan peranan ke arah meredakan ketegangan antara India dan Pakistan sekiranya diperlukan susulan serangan di Kashmir yang mengorbankan puluhan nyawa minggu lalu.
Kesediaan itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar turut mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas serta telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan itu.
Pada masa sama, kata beliau, hubungan baik antara Malaysia dengan Pakistan dan India merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.
“Semalam saya menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang memaklumkan penangguhan lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada Jumaat ini susulan ketegangan yang timbul selepas insiden serangan di Kashmir baru-baru ini.
“Saya memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan mendoakan agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: Tarif: ASEAN tolak ambil tindak balas ke atas AS, pilih ke meja rundingan – PM
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara.
Katanya, Perdana Menteri Pakistan itu juga mengutarakan hasrat mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman yang sedang dirunding.
“Saya tegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” katanya.
Shehbaz, sebelum ini dilapor akan melawat Malaysia, dalan usaha memperkukuh hubungan dua hala merentas pelbagai sektor, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan.
Serangan pada 22 April lalu di Pahalgam, Jammu dan Kashmir, menyasarkan pelancong Hindu, mengorbankan 26 orang dan mencederakan lebih 20 yang lain.
Kumpulan militan The Resistance Front yang dikaitkan dengan Lashkar-e-Taiba mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik antara New Delhi dan Islamabad.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

