HASIL pertemuan antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan akan dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diperhalusi.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilapor BH Online, hari ini.
Justeru, Tuan Ibrahim menyangkal dakwaan kononnya berlaku pertikaian antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk PN walaupun wakil parti itu tiada dalam pertemuan antara Muhyiddin dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan itu.
Menurut Tuan Ibrahim, Pas memang ada menerima jemputan yang melibatkan Presidennya iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Beliau turut mengesahkan tiada wakil Pas yang hadir dalam pertemuan tersebut.
“Saya sendiri pun tak dapat (jemputan)…kebetulan presiden ada program yang lebih awal. Presiden cuba untuk hadirkan saya tetapi saya juga ada program selain itu tarikh (jemputan) juga singkat.
“Pertemuan itu saya kira positif, bagi PAS (tidak hadir) tak ada (masalah) sebab isunya pertemuan itu untuk membincang dan menyelaraskan isu-isu yang dipilih (dihadapi) rakyat.
“Pendekatan kita supaya kita ada strategi yang sama. Jadi, (Tan Sri) Muhyiddin pun maklum perbincangan itu akan dibawa ke Majlis Presiden (dalam PN) untuk diperhalusi, saya rasa ini permulaan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Tuan Ibrahim menyifatkan pertemuan tersebut sebagai permulaan yang baik bagi menyelaraskan pendekatan atau langkah kepada isu yang berlaku terutama kepada rakyat.
Katanya, lebih banyak pertemuan akan diadakan selepas ini yang bukan sahaja membabitkan parti politik tetapi pertemuan bersama badan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat serta tokoh akademik.
Baca artikel lain: ‘Rafizi, you are telling lies’, Marzuki dedah tawaran PN kepada BN
Ditanya adakah ada pertemuan membabitkan UMNO, Tuan Ibrahim memaklumkan dalam pengetahuannya ada perbincangan secara ‘senyap-senyap’ .
“(Pertemuan dengan BN) Senyap-senyap adalah, ada kawan-kawan, yalah…masing-masing pun jumpa. Bagi kita, terbuka kalau ada rakan-rakan daripada UMNO yang ingin bersama, saya fikir itu untuk masa depan negara.
“Mungkin kalau kita rasa duduk di tempat yang tak betul, kita kena betulkan tempat duduk. Kalau duduk di kapal yang tenggelam baik pindah ke kapal baharu,” katanya.
Kelmarin, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu telah mengadakan perbincangan bersama 11 ketua parti blok bukan kerajaan.
Perbincangan tersebut, kata Muhyiddin adalah bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.
Antara yang hadir, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali.
Antara lainnya, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan; Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Dr P Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

