Himpunan ‘Turun Anwar’ sebenarnya kemenangan moral untuk PM, hanya popularkan ‘Safwan Afnan’

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

HIMPUNAN ‘Turun Anwar’ yang telah pun berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu lalu masih lagi diperkatakan sama ada di warung kopi atau di media sosial.

Namun, berbeza sentimen yang diuar-uarkan, pelaksanaan himpunan tersebut ketika ini hanya menyerlahkan perilaku peserta yang seolah-olah gagal ‘menghayati’ semangat perjuangan dibawa dalam himpunan itu.

Tolak tepi cakap-cakap soal jumlah peserta yang menyertai Himpunan ‘Turun Anwar’ itu kerana sama ada 500,000 atau 18,000, tiada siapa yang betul-betul boleh mengesahkan satu persatu manusia yang berada di situ.

Ini bukan sebuah himpunan di stadium yang sudah tentu ada cara mengira kepala demi kepala.

Kini, nama ‘Safwan Afnan’ pula popular dek kerana video tular salah seorang peserta yang mahu ‘Safwan atau Afnan’ dilantik menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Bukan itu sahaja contoh yang bertebaran di media sosial, banyak lagi gelagat peserta yang seolah-olah ‘bingung’ ketika disuakan mikrofon oleh wartawan.

Insiden sedemikian sebenarnya mengundang persoalan dan kebimbangan mengenai kadar celik politik terutama dalam kalangan anak muda.

Perkara itu juga dibangkitkan Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali kepada UtusanTV.

Menurut Mazlan, generasi muda penting kepada pembangunan dan masa depan negara.

Sehubungan itu, kata beliau, anak muda tidak boleh sekadar mengikut membuta-tuli tanpa ‘menghayati’ maksud kehadiran mereka di himpunan tersebut.

“Jika kita lihat dalam pelbagai video yang tular, saya fikir kebanyakan peserta yang hadir dalam himpunan berkenaan mempunyai kadar celik politik yang rendah.

“Kita bimbang dengan masa depan negara apabila ada generasi muda yang kurang mengambil berat tentang perkara yang terkait dengan politik Malaysia.

“Kita lihat orang muda ketika ini langsung tidak mendapat maklumat mengenai politik menerusi usaha penglibatan mereka tetapi lebih terpengaruh dengan media sosial,” katanya.

Pelbagai angka kehadiran yang dimainkan pun dilihat tidak mampu menggugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika peserta demonstrasi mula berhimpun di ibu negara, Anwar meneruskan jadual rasmi tanpa ada rasa tertekan.

Malah, ketika ditanya pemberita sewaktu selesai menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50, Anwar secara berseloroh mengatakan beliau tidak menerima jemputan ke himpunan tersebut.

Usai perhimpunan, Perdana Menteri turut mengucapkan selamat pulang kepada semua peserta Himpunan ‘Turun Anwar’ dan mendoakan agar perjalanan pulang mereka dipermudahkan dan dilindungi.

Perdana Menteri juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas pasukan keselamatan; dari polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan yang telah bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi yang tinggi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kelancaran acara himpunan itu.

Baca artikel lain: Himpunan ‘Turun Anwar’ bukti kekuatan, kematangan demokrasi sebenar era MADANI – Adam Adli

Dari segi itu, Mazlan turut menyifatkan himpunan ‘Turun Anwar’ itu sebagai gagal mencapai matlamat yang sebenar.

Katanya, himpunan tersebut dianjurkan hanya untuk menimbulkan momentum bagi ‘mengaburi’ kelemahan pembangkang yang gagal bertindak sebagai semak dan imbang yang baik di Parlimen.

“Dari segi kehadiran memang pembangkang boleh katakan mereka berjaya tetapi himpunan ini telah gagal mencapai matlamat sebenar kerana Anwar masih Perdana Menteri.

“Anwar sendiri telah memberi ruang supaya pembangkang mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Namun, sehingga hari ini, belum ada lagi usul undi tidak percaya itu,” katanya.

Tiga hari berlalu sejak Himpunan ‘Turun Anwar’ itu, Perdana Menteri masih lagi Anwar Ibrahim. Tiada apa yang berubah.

Optik yang cuba ditonjolkan pembangkang bahawa puluhan ribu telah hadir ke jalanan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan sebenarnya telah gagal.

Sebaliknya, kemenangan moral telah dicapai Anwar yang dilihat tenang menguruskan isu melibatkan himpunan itu.

Protes jalanan tidak mengubah apa-apa, ‘bersuara’ lah di peti undi nanti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pas utus surat kepada Bersatu, beri cadangan perkukuhkan PN – Muhyiddin

PAS dilaporkan menghantar surat kepada Bersatu berkenaan hubungan di antara kedua-dua buah parti, selain cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional...

More Articles Like This