Menikmati keagungan ciptaan tuhan di bumi Anatolia

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MERHABA! Alhamdulillah, minggu lalu penulis berkesempatan mengembara dan menikmati keindahan ciptaan tuhan di bumi Anatolia atau nama modennya Turkiye.

Perjalanan selama sembilan hari tujuh malam ini amat istimewa buat penulis memandangkan Turkiye merupakan sebuah negara yang penuh dengan sejarah sejak ratusan tahun lalu.

Lebih istimewa, ini juga merupakan perjalanan pertama penulis bersama isteri dan seluruh ahli keluarga termasuk ibu bapa dan adik-beradik.

Atas sebab itu, percutian kali ini agak berbeza dengan kami memilih untuk menggunakan khidmat ejen pelancongan dari Arba Travel, bukannya seperti biasa hanya merancang perjalanan sendiri.

Tidak banyak rungutan tentang perkhidmatan Arba Travel kerana kami amat menikmati setiap detik ketika berada di bumi Anatolia itu.

Bahkan, kami juga berasa gembira dengan kumpulan pengembara lain seramai 28 orang yang amat mesra walaupun baru pertama kali bertemu.

Cuma, jadual padat yang disusun sepanjang trip itu agak sedikit defeat the purpose bagi sesiapa yang mahukan pelancongan santai.

Namun, perjalanan sejauh kira-kira 2,150 kilometer merentasi enam wilayah di bumi Turkiye iaitu Istanbul, Ankara, Cappadocia, Pamukkale, Konya dan Bursa memberi makna yang cukup besar.

Sedikit terkilan apabila kami tidak sempat untuk melawat makam Pengasas Republik Turkiye yang juga Presiden pertama negara itu iaitu Mustafa Kemal Ataturk ketika berada di Ankara pada 30 Ogos lalu.

Ia kerana pada tarikh sama, Turkiye meraikan ulang tahun ke-103 Hari Kemenangan dengan jalan ke makam berkenaan ditutup bagi sambutan tersebut.

Sebagai rekod, Hari Kemenangan yang disambut setiap 30 Ogos menandakan kejayaan Turkiye pada 1922 dalam Pertempuran Dumlupinar di bawah pimpinan Ataturk menentang pasukan penjajah di Anatolia.

Kemenangan itu membuka jalan kepada penubuhan Turkiye moden pada 1923 dan disambut setiap tahun.

Kami turut berpeluang menghayati keindahan ibu kota pertama empayar Uthmaniyyah antara tahun 1335 hingga 1413 iaitu di Bursa, sebuah kota yang teletak di barat laut Anatolia.

Di kota tersebut juga menempatkan makam pengasas empayar Uthmaniyyah iaitu Osman Gazi dan anaknya, Orhan Gazi di puncak bukit Tophane.

Puncak bukit itu juga berdiri megah Menara Jam Tophane sebagai lambang keagungan sebuah empayar Islam yang pernah menguasai tiga benua.

Rombongan kami juga sempat singgah di Masjid Agung Bursa atau Ulu Camii yang dibina lebih 600 tahun lalu.

Masjid yang merupakan lambang warisan Uthmaniyyah itu berdiri megah dengan 20 kubah dibina dengan gaya binaan Seljuk-Uthmaniyyah atas perintah Sultan Yildirim Bayezid I pada tahun 1396 hingga 1399.

Turkiye sememangnya terkenal dengan binaan seni halus masjid yang indah di samping dihiasi kaligrafi yang memukau membuatkan rasa tenang ketika berada di dalamnya.

Situasi sama dapat dirasai ketika menjejakkan kaki di Hagia Sophia terletak di perkarangan kawasan Sultanahmet, Istanbul yang turut menempatkan Istana Topkapi, Hippodrome dan Masjid Sultan Ahmet (Masjid Biru).

Hagia Sophia

Baca artikel lain: Penyakau, perampok, penjarah, tak ingat matikah?

Pemandangan bandar bawah tanah di Cappadocia

Tidak hairanlah apabila ramai menganggap bangunan itu sebagai sebuah masjid teragung dan tercantik di dunia.

Dibina sebagai sebuah katedral antara tahun 532 dan 537 sebelum Masihi atas arahan Maharaja Byzantine Justinian, Hagia Sophia atau Aya Sophia ditukarkan menjadi masjid oleh Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1453 selepas kejatuhan Constantinople (Istanbul) kepada empayar Uthmaniyyah.

Kisah agung Sultan Muhammad al-Fatih atau masyarakat di Turkiye menggelarkannya, Fatih Sultan Mehmet berjaya menakluk kota Constantinople juga diingati ketika berada di sana.

Selain seni bina yang memukau, Turkiye turut dikenali dengan muka bumi indah menjadi penenang mata dan hati.

Kumpulan kami yang menggunakan khidmat Arba Travel untuk melancong ke Turkiye bergambar kenangan berlatarbelakangkan Hagia Sophia

Salah satu lokasi menarik sudah tentu di Cappadocia yang merupakan kawasan lembah hasil letusan gunung berapi ribuan tahun lalu.

Formasi batuan unik hasil letusan gunung berapi itu juga menjadikan masyarakat zaman dahulu membina bandar bawah tanah seperti Derinkuyu dan Kaymakli.

Tidak hairanlah apabila Cappadocia telah diiktiraf sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO melalui gabungan ciri-ciri alam semula jadi luar biasa dan warisan budaya yang dimilikinya.

Keseluruhannya, satu minggu di bumi bersejarah itu sebenarnya tidak cukup untuk ‘menggali’ segala isi ilmu lebih-lebih lagi bagi menghayati salah satu empayar agung Islam yang bertahan selama lebih kurang 600 tahun iaitu Uthmaniyyah.

Insya-Allah, penulis akan kembali lagi ke bumi Anatolia satu hari nanti. Buat masa ini, Teşekkürler Turkiye!

Afiq Mohd Shah adalah Penolong Pengarang Berita UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok...

More Articles Like This