SERAMAI tujuh suspek yang ditahan susulan insiden kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru, Khamis lalu dipercayai ketua dan ahli kepada satu pertubuhan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus seperti dilapor Bernama.
Dalam sidang media malam tadi, Fadil memberitahu, kesemua suspek lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun itu telah ditahan.
Menurut beliau, enam daripada mereka direman dua hingga tiga hari sejak kelmarin manakala seorang lagi telah didakwa di mahkamah.
Pada masa sama, Fadil berkata, siasatan mendapati mereka yang ditahan itu bukan penduduk yang beralamat di Kampung Sungai Baru.
“Saya masih tidak dapat mendedahkan jika mereka ini ada agenda atau kepentingan lain kerana siasatan masih dijalankan.
“Saya juga ingin menegaskan jika didapati ada lagi tindakan agresif ke atas penguat kuasa, tindakan awal akan segera dilakukan,” katanya.
Baca artikel lain: Duit pampasan bukan isu utama bagi Kampung Sungai Baru – Rafidah
Mengulas lanjut, Fadil berkata, suspek yang telah dituduh itu merupakan lelaki berusia 26 tahun telah mengaku bersalah, didenda RM1,500 dan telah dibebaskan.
Katanya, setakat ini tiga kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan.
“Polis akan memohon pelanjutan reman untuk suspek lain bagi meneruskan siasatan. Ada antara yang ditahan itu mempunyai rekod lampau jenayah pecah rumah dan kes lain,” katanya.
Beliau berkata polis masih mengesan beberapa lagi suspek berhubung kes itu dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan.
“Kita juga minta kerjasama orang ramai yang menyimpan video-video berkaitan dengan insiden tersebut untuk berkongsi video itu dengan polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

