SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Lawyers for Liberty (LFL) berhubung notis yang dikeluarkan kepada peguam Mahajoth Singh dalam siasatan melibatkan Albert Tei Jiann Cheing.
Menurut SPRM, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.
Malah katanya, tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut undang-undang.
“Memandangkan peguam yang mewakili suspek mempunyai bahan bukti (exhibits) yang berkaitan dengan siasatan, beliau mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki di bawah Seksyen 30(3) Akta SPRM 2009.
“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang,” jelasnya dalam kenyataan.
SPRM menambah, keistimewaan komunikasi peguam-anak guam hanya melindungi nasihat undang-undang yang sulit, namun ia tidak:
- mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan pegawai penyiasat;
- melindungi bahan atau dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang; atau
- menghalang siasatan jika peguam tersebut merupakan saksi material.
Oleh itu jelasnya, dakwaan intimidasi adalah tidak berasas.
“Notis tersebut merupakan proses statutori biasa dan sama sekali tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.
“Memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah prosedur siasatan standard,” katanya.
Selain itu tegas SPRM, sebarang sekatan sementara terhadap akses kepada tahanan adalah tertakluk kepada Seksyen 28(A)8 Kanun Tatacara Jenayah serta keperluan operasi bagi melindungi integriti siasatan.
Ini katanya, adalah selaras dengan undang-undang dan tidak luar biasa dalam kes yang sensitif.
“Memutarbelitkan prosedur sah sebagai ‘tindakan tanpa undang-undang’ adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam.
“SPRM akan terus melaksanakan peranan dan tugasnya secara berkecuali, profesional, dan dalam ruang lingkup undang-undang sepenuhnya,” katanya.

