KUALA LUMPUR – Buat hari kedua berturut-turut di tahun 2021, angka harian COVID-19 kekal melebihi 2,000 kes dengan hari sebanyak 2,295 penularan dilaporkan.

Pada masa sama, bilangan kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan hari ini juga tinggi dengan sebanyak 3,321 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah sebanyak 117,373 kes.

Dr Noor Hisham Abdullah

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,398 kes dan daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat sembilan (kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 638 kes (27.8 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 496 kes (77.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 580 kes (25.3 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 288 kes (12.5 peratus).

Tambah Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 125 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan sembilan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 483 kes.

“Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing melaporkan dua kes kematian makala bakinya di Kelantan, Perak dan Sabah.

“Individu positif COVID-19 yang tertua meninggal dunia hari ini ialah berusia 82 tahun di Hospital Ipoh manakala termuda berusia 41 tahun di Hospital Sungai Buloh,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, KKM melaporkan sembilan kluster baru COVID-19 hari ini.

Negeri terlibat dengan kluster baru ialah Sarawak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 229 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Harum (206 kes), Kluster Bukit Pasir (174 kes) dan Kluster Tapak Bina Lebuh (137 kes).