Kelaminnya seperti daging yang membusuk
Selesai peringkat pertama. Proses tajhiz beralih kepada pembersihan bahagian dalaman dan sisa najis jenazah yang berbaki.
Saya bersihkan bahagian sulitnya dalam keadaan tertutup. Saya balut tangan dengan sehelai kain putih. Saya bersihkan bahagian dubur jenazah. Sebaik mengangkatnya, terdapat tompokan najis cair dengan nanah yang melekit.
Kali ini saya pula hampir tewas. Perut terasa mual. Tekak semakin perit. Saya bimbang kalau saya juga tertewas seperti Bob. Siapa pula akan menguruskan jenazah ini. Saya berdoa semoga Allah memberikan kekuatan untuk meneruskan proses ini.
Saya meminta izin untuk membuka kain yang menutupi bahagian kelaminnya. Jangan lupa, aurat dan kemaluannya tetap haram dilihat kecuali ada keperluan yang mendesak dan mengharuskan. Saya yakin, kali ini keperluan itu ada. Saya perlu buka untuk kepastian.
Sebaik saya buka kain yang menutup bahagian itu, astaghfirullah…
Rupa-rupanya, arwah telah melakukan pembedahan menukar jantina. Kawasan pembedahan tersebut luka dan bernanah.
Saya lihat sendiri dalam keadaan terpaksa. Alat kelaminnya seakan daging merah yang membusuk. Hitam dan lebam. Sekali lagi saya mahu termuntah. Terasa geli, sebak dan sedih. Perasaan bercampur-baur.
Wanita tua itu pula hampir rebah. Dia menangis. Katanya, dia menyesal tidak menasihatkan arwah sewaktu dia masih hidup. Saya biarkan ibu tua itu meluahkan isi hatinya sendirian.
Selesai membersihkan alat kelamin serta najis jenazah, tiba-tiba datang pula sekumpulan lalat. Saya bingung. Dari mana datangnya kumpulan lalat ini? Kehadirannya mengganggu proses ini. Ada yang mula bertempek di tubuh jenazah. Walaupun saya menghalang, sia-sia sahaja.
Saya pasrah, lalu saya angkat tangan dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan jenazah ini. Hampir 15 minit didatangi tetamu kecil yang tidak diundang ini, akhirnya sekumpulan lalat itu menghilang begitu sahaja.
Selepas itu, timbul pula bau yang sangat memualkan. Kami tidak tahu dari mana datangnya bau itu. Saya memberi isyarat kepada Bob supaya menyediakan bancuhan sabun dettol dan bahan lulur yang boleh mengurangkan bau busuk.
Proses kami menghampiri kepada kemuncaknya. Saya basahkan seluruh anggota badan jenazah dengan air bersih. Saya gosok setiap inci tubuhnya dari kaki hingga ke kepala. Sedang saya melakukan proses itu, tiba-tiba wanita tua itu menjerit.
Saya pandang jenazah. Lidahnya terjelir. Maaf, jika perumpamaan ini agak kasar. Namun keadaan jenazah seolah-olah seperti seekor anj**g. Saya tidak berniat untuk merendahkan martabat jenazah, tapi itulah perbandingan yang mudah untuk difahami bagi mereka yang tidak melihat situasi tersebut.
Saya ambil sedikit minyak zaitun dan urutkan bahagian bawah rahang mulutnya. Saya cuba masukkan lidahnya kembali ke tempat asal. Kemudian, saya tutup mulutnya dan ikat bahagian rahang itu dengan cebisan kain putih. Saya harap usaha ini akan berhasil.
Alhamdulillah, pembersihan najis selesai dan masalah lidah terjelir juga selesai. Kami mula mandikan bermula di bahagian kepala. Saya minta Bob meneruskan proses ini.
Sebaik Bob mulakan, saya pinta dia berhenti. Ini kerana saya nampak kulit jenazah seakan rosak dan mudah tersiat. Saya ambil keputusan menggunakan penyembur sahaja. Kami sembur untuk mengelakkan kulit jenazah tersiat.
Selepas itu, saya ambil air bersih lalu siramkan ke tubuh jenazah. Bob pula sediakan air daun bidara dan kapur barus. Ini proses terakhir. Sudah hampir tiga jam saya menguruskan jenazah ini. Harap tiada lagi kesulitan yang berlaku.
“Ustaz, kenapa ni?” soal Bob. Dia menjuihkan bibirnya ke arah bahagian kepala jenazah.
Rupanya-rupanya ada darah dan lendir melekit keluar daripada bahagian rongga telinga dan hidung arwah.
Mulanya saya rasa ia perkara biasa. Mungkin kecuaian kami membuatkan terlalu banyak jumlah air yang memasuki ruang rongga jenazah. Tetapi, lendir itu terus keluar. Warnanya pekat seperti darah yang bercampur nanah. Baunya pula, busuk bukan kepalang. Saya jirus beberapa kali dengan air paip, namun lendir itu terus mengalir keluar.
Saya mendongakkan bahagian kepala arwah lalu menyumbat kapas ke dalam bahagian rongganya. Kami terus memandikan jenazah sehingga selesai.
Sebaik sahaja saya mahu mewudukkan jenazah, saya menarik kapas yang menutup bahagian telinganya, tiba-tiba keluar lendir yang sangat banyak. Saya ambil air lalu mencucinya dan meletakkan kain yang lebih tebal untuk menutup rongga badannya.
Akhirnya, semua selesai. Bob menyiramkan air campuran daun bidara. Lantas saya panggil wanita tua itu untuk menyiram tubuh arwah buat kali terakhir. Dia mengambil gayung dan perlahan-lahan menjirus ke tubuh arwah. Air matanya tidak berhenti mengalir. Saya juga terasa sebak melihat keadaan itu.
Setelah selesai, wanita itu merenung jenazah. Dia menangis semahunya. Saya berikan ruang kepadanya.
Tepat jam 1.30 petang, azan Zuhur berkumandang. Hampir 5 jam kami berada dalam bilik itu sejak pagi. Saya rasa inilah antara jenazah paling lama yang pernah saya uruskan.
Penat, sedih, mual, gembira dan bermacam perasaan lagi saya rasakan. Terlalu banyak pengajaran yang saya lihat daripada jenazah ini. Ia sebagai peringatan daripada Allah.
Ingatlah, jangan sesekali kita melawan dan sombong dengan-Nya. Jangan kita ubah ciptaan-Nya kerana bagaimana asalnya kita dijadikan, begitulah juga seharusnya apabila kita pulang kepada-Nya semula. Jadikan kisah ini sebagai tauladan.

