KUALA LUMPUR – Esok, genap 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri dan ia kemudian dilanjutkan kepada 4 Februari serentak dengan pelaksanaannya di tujuh negeri lagi.
Ini meninggalkan Sarawak satu-satunya negeri yang tidak dikuatkuasakan PKP kecuali di bahagian tertentu negeri itu yang melaporkan kes baru COVID-19 tinggi.
Ketika ini, soalan paling popular apakah akan disambung lagi PKP 2.0 selepas 4 Februari iaitu selepas 23 hari pelaksanaannya di Selangor dan lima negeri lain yang secara umumnya negeri-negeri tulang belakang kepada ekonomi negara?
Mengulas hal ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan PKP akan dilaksanakan selama empat minggu sahaja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga dalam masa sama menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan selama tiga bulan untuk memastikan jumlah kes baharu turun ke dua angka.
Baca artikel berkaitan: PKP di enam negeri bermula Rabu – PM
PKP dilanjut sampai 4 Februari di seluruh negara kecuali Sarawak
Memetik laporan Astro Awani, untuk hari ini, KKM merekodkan jumlah jangkitan baharu akibat COVID-19 ialah sebanyak 3,048 kes.
“Mantra peperangan COVID-19 ni masih sama, kita perlukan kepatuhan yang tinggi. Kalau kita semua patuhi pada SOP, maka kita tak perlukan PKP pun,” katanya dalam sesi taklimat media secara maya pada Isnin.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan R0 1.06, turun daripada paras tertinggi 1.2 sebelum ini.
“Kalau boleh elakkan peningkatan. Kalau boleh 3,000 sekarang R-Naught (kadar kebolehjangkitan) pun kurang sikit pada 1.06 daripada 1.2.
“Esok mungkin boleh kurang daripada 1.06. Kalau boleh kurang daripada 1. Harap dalam dua minggu, dapat elakkan lonjakan tetapi stabil,” katanya lagi.

