Gambar hiasan FB SPR

PADA 3 November lalu, Parlimen diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Namun semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 sebagai sebab mengapa Undi 18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Justeru bagi Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh, alasan yang diberikan SPR itu agak janggal.

Malah Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN) itu mempersoalkan apakah SPR tidak sedar pelaksanaan PKP akan menjejaskan kebolehan suruhanjaya itu ketika Takiyuddin menjelaskan di Parlimen November lalu.

“Tindakan SPR ini sama sekali tidak mencerminkan komitmen kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Takiyudin menerusi kenyataan di Parlimen untuk memperkasakan hak dan penglibatan golongan muda dalam “decision making process” melalui pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik.

“SPR perlu lebih efektif dalam menangani isu ini. Saya faham pelaksanaan PKP ini akan sedikit sebanyak menjejaskan kebolehan SPR namun keadaan tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguh pelaksaaan kedua–dua agenda tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sivarraajh, SPR perlu ingat bahawa pindaan Rang Undang-Undang Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membawa kepada pelakasanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik ini telah mendapat persetujuan hampir semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara dari semua parti.

Katanya, perkara ini sahaja cukup untuk memberi gambaran sebenar kepentingan kita melaksanakan kedua – dua agenda tersebut dengan kadar segera.

“Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam masa terdekat sejurus penularan wabak COVID-19 kembali reda atau pulih sepenuhnya.

“Mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang berjalan lancar, kita sepatutnya boleh menjangkakan PRU selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Maka SPR juga perlu memastikan bahawa persiapan pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik bergerak seiring dengan garis masa tersebut,” jelasnya.

Tegas Sivarrajh, jika kelewatan ini disebabkan keperluan undang–undang, beliau percaya terdapat ramai pakar perundangan di SPR dan Jabatan Peguam Negara yang mampu membantu menyelesaikan kekangan tersebut.

Katanya, jangan terus menjadikan COVID-19 atau darurat sebagai alasan untuk menafikan hak anak muda.

Baca artikel berkaitan: COVID-19 jejas persiapan SPR, Undi 18 lepas September 2022

Undi 18: Keputusan SPR tidak menghormati Parlimen

“Pelaksanaan Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik perlu dilihat sebagai peluang untuk kita terus mendampingi golongan muda, bukannya sebagai ancaman terhadap kedudukan politik parti pemerintah semata-mata.

“Suka atau tidak, penglibatan anak muda dalam proses “decision making” adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

“Kedua-dua agenda ini adalah sebahagian daripada proses pendemokrasian negara. Sebarang tindakan terkait pelaksanaan kedua-dua agenda ini sepatutnya hanya mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan hak orang muda sentiasa terjamin dan terpelihara,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan perlu melihat Undi 18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik sebagai satu kelebihanuntuk mendekati dan meyakinkan pengundi muda yang sudah muak dengan perkembangan politik dalaman Pakatan Harapan.

“BN akan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memperkasa penglibatan, hak dan suara orang muda dalam proses pendemokrasian negara. Jangan disebabkan politik semata-mata, hak anak muda terus dinafikan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram