Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sekitar kawasan perumahan yang dipagar menggunakan kawad duri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Merpati, Pandan Indah baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

HOSPITAL Selayang akan ditukarkan sepenuhnya menjadi hospital COVID-19 bagi kawasan Lembah Klang dengan 450 katil akan disediakan bagi kegunaan pesakit COVID-19.

DR CHONG CHEE KHEONG. /Gambar fail.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, pesakit bukan COVID-19 di Hospital Selayang akan dipindahkan ke hospital swasta untuk meningkatkan kapasiti katil untuk pesakit COVID-19 yang berada pada Kategori 3, 4 dan 5.

“‘Operasi Selayang’ telah dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dua hospital di Selangor telah dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 sepenuhnya iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang.

Baca artikel berkaitan: Dua hospital di Selangor kini dikhusus untuk rawat COVID-19

Menurut, Chee Kheong, langkah kedua yang diambil ialah memberi perhatian penuh bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu.

Katanya, ujian COVID-19 pula akan lebih mengutamakan individu yang bergejala (symptomatic).

“Walaubagaimanapun, semua kes simptomatik COVID-19 ini masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian ataupun secara fizikal di CAC atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

“Bagi kes positif yang tidak bergejala (asymptomatic) akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-COVID atau SELangkah,” jelasnya.

Kata beliau, kontak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala adalah digalakkan untuk melakukan ujian pantas COVID-19 sama ada di klinik berhampiran ataupun menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.

Baca artikel berkaitan: KKM tingkat kesiapsiagaan COVID-19 di Lembah Klang

Menurut beliau, langkah ini diambil supaya pengurangan kes COVID-19 dapat dilakukan di wilayah ini dan untuk mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri. Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas.

“Bagi dewasa yang layak adalah digalakkan untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram