SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan pecah amanah wang rampasan sebanyak AS$6.94 juta (RM29.02 juta).
Memetik laporan BH Online, Shahrum Nizam Baharuddin, 41, sebaliknya memohon dibicarakan selepas tuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Tertuduh dalam kapasiti penjawat awam didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.
Shahrum Nizam didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.
Pegawai berkenaan ketika itu merupakan salah seorang anggota pasukan siasatan kes pecah amanah melibatkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah jaminan terhadap tertuduh kerana ia melibatkan kesalahan serius di samping mendapat liputan meluas media.
Namun begitu, jika dibenarkan mahkamah, pihak pendakwaan memohon jaminan RM10 juta dengan tiga orang penjamin.
Baca artikel berkaitan: Pegawai SPRM didakwa curi RM25 juta dihadap ke mahkamah esok
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, K Ponnusamy memohon jumlah jaminan rendah atas alasan penjawat awam dan tidak mempunyai risiko melarikan diri.
Pada masa sama, pihak pembelaan juga memaklumkan tertuduh mempunyai dua orang anak selain mengalami masalah kesihatan iaitu sakit tulang belakang dan kanser hidung.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari ini bagi sebutan semula kes.
September lalu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan, ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September lalu.
Isu penahanan tiga pegawai SPRM itu mula diperkatakan apabila sebuah portal mendedahkan perkara berkenaan dengan mendakwa wang AS$6.94 juta tersebut adalah milik bekas Ketua Pengarah Perisikan, Datuk Hasanah Abdul Hamid yang dirampas oleh agensi tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

