DETIK penentuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hampir dengan kempen berbaki lima hari sahaja lagi.
Malam hari, program ceramah makin banyak dan kian ‘hangat’ manakala calon pula siang malam mengatur program untuk bertemu seramai mungkin pengundi bagi menambat hati mereka.
Bagi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula, beliau memilih pantun untuk menitipkan nasihat kepada lebih 2.5 juta pengundi PRN Johor agar membuat pilihan tepat.
Antara seruan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ialah supaya pengundi memilih pemimpin bermaruah.
Tidak terkecuali, Abdul Hadi yang berkongsi pantun itu di Facebook beliau hari ini ialah mengenai akibat jika salah memilih pemimpin yang akhirnya hancur negeri.
Berikut empat rangkap pantun yang dikongsi Abdul Hadi:
Kayu gaharu dibuat cincin,
Pecah tanah di pulau haraan,
Jangan erburu memilih pemimpin,
Hilang amanah dipunah harapan.
Dari Pagoh pergi Seremban
Terus belayar ke Pulau Manis,
Kamu tuduh kami Taliban,
Di belakang kamu ada Komunis.
Kalau hendak memilih cincin,
Pilihlah cincin muat di jari,
Kalau hendak memilih pemimpin,
Pilih pemimpin bermaruah diri.
Buah bacang buah nangka,
Ada angin gugur sendiri,
Salah cincang tangan terluka,
Salah pemimpin hancur negeri.
Baca: PRN Johor: Sampai hari ini negara warisi beban hutang – Muhyiddin
Sementara itu, dalam ceramahnya di Bakri malam tadi, Abdul Hadi menyeru bangsa Johor supaya melakukan perubahan kepemimpinan kerajaan negeri ke arah yang lebih baik dengan memilih PN pada PRN 12 Mac ini.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, selama 60 tahun lebih pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO telah berlaku penyalahgunaan kuasa, salah laku dan rasuah, yang menyebabkan pentadbiran parti itu perlu diubah.
“Hari ini kita melihat penyakit rasuah dan salah laku berleluasa dalam masyarakat. Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan petunjuk kepada kita bahawa Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.
“Penyakit rasuah ini harus kita hapuskan daripada terus merebak ke dalam masyarakat,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, ini berbeza ketika era PN yang mana sepanjang pemerintahan kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin, banyak bantuan kepada rakyat diterima.
“Antaranya yang paling teruk ketika rakyat menghadapi wabak COVID-19 dan banjir yang menimpa banyak negeri.
“Tiba-tiba ada sebahagian pimpinan UMNO mahu bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi membentuk jajaran baru.
“Pesanan saya buat rakyat Johor, pilihlah calon yang berintegriti, berkebajikan dan tidak terpalit dengan penyakit rasuah dan salah laku,” jelasnya.

