PENYANYI Yazmin Aziz yang juga peserta Big Stage 2022 tidak mahu bakat seninya tersekat hanya dalam bidang nyanyian sahaja.

Yazmin, 20, turut mendapat peluang membintangi sebuah telemovie komedi yang bertajuk Bunga Dan Kayu arahan Wann Hafiz dan berganding bersama MK K-Clique serta Azira Shafinaz.

Penyanyi kacukan Malaysia-Filipna itu turut berkata, dia terbuka untuk menerima tawaran berlakon dan tidak kisah walaupun sekadar watak komedi.

Menurutnya lagi, watak komedi itu sudah ada dalam dirinya dan dia turut berasa senang dengan penerimaan penonton terhadap lakonannya.

“Memanglah saya teruja apabila diberi tawaran berlakon kerana sejak kecil lagi saya sudah pasang impian untuk berjaya dalam bidang seni dan tidak kisah apa bidang sekalipun.

“Saya harap kemunculan pertama sebagai pelakon dapat membuka mata banyak pihak dan diberi peluang lain.

“Saya tidak ada masalah untuk berlakon komedi dan di Malaysia pun tidak ramai pelakon komedi wanita. Jadi apa salahnya untuk saya lebih serius.

“Menerima respons baik dari penonton membuatkan saya gembira dan sememangnya karakter komedi itu sudah ada dalam diri saya,” kata penyanyi itu memetik laporan Mstar.

Yazmin turut mengakui bahawa dengan membaca dan menghafal skrip lakonan, dia dapat belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.

“Apabila membaca skrip saya boleh belajar lebih banyak penggunaan Bahasa Melayu dan sebenarnya tidak sangka boleh cepat ingat semua skrip,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Yazmin mempunyai sebuah single berjudul Lihatlah hasil penulisan bersama Vince Chong dan mendapat tempat keempat dalam program Big Stage 2022.