Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK SERI Ismail Sabri Yaakob hari ini mengungumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Menurut Perdana Menteri, penubuhan jawatankuasa yang akan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Selain Annuar, anggota yang lain ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

Turut menggangotainya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

“Pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan,” katanya.

Baca: Indonesia naik tarif elektrik, di Thailand gas masak sudah RM45 setong, tapi PH pula ajak protes

Langkah berani pentadbiran Ismail Sabri demi rakyat Malaysia

Harga makanan dunia naik 30 peratus lapor FAO, moga RON95 kita kekal

Bagi membantu rakyat berdepan peningkatan harga barang, kerajaan mengumumkan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). GAMBAR: Abd Razak Aid

Dalam kenyataan media tersebut, Perdana Menteri memaklumkan, pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia.

“Langkah ini diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api,” jelasnya.

Baca: Kerajaan sanggup tanggung subsidi besar untuk stabil harga, elak inflasi tinggi – Mustapa

Subsidi kerajaan 2022 RM77.3b, tertinggi pernah ditanggung

Kata Ismail Sabri, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan (focal point) untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia,” ujarnya.