BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipanggil ke Bukit Aman esok untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Mohamed Apandi akan hadir ke Bukit Aman pada jam 2.30 petang esok.
“Siasatan kes berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam mengingkari arahan undang-undang dengan niat mahu menyelamatkan orang daripada seksaan atau harta daripada dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca: Tindakan Mohamed Apandi ‘bersekongkol’ dengan Jho Low mencurigakan – Tun M
Bukit Aman sebelum ini mengesahkan sedang menyiasat Mohamed Apandi berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam siasatan 1MDB.
Siasatan dibuat selepas PDRM menerima laporan dibuat Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung dakwaan itu.

