Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan GAMBAR: Abd Razak Aid

“Kalau menang selesa kita akan tubuh kerajaan secara solo tanpa minta sedekah kepada sesiapa.”

Itu penegasan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika mengulas mengenai potensi Barisan Nasional (BN) untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas beliau, mereka mempunyai keyakinan untuk menang dalam PRU-15 tetapi tidak menafikan parti itu perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak kerusi.

Malah, menurut Mohamad, BN juga telah membuat keputusan untuk bergerak secara solo dalam PRU-15.

”Nak berunding buat lepas pilihan raya. Lepas PRU-15 kami akan lihat hala tuju kompas mana nak tubuh kerajaan dengan siapa yang beri keuntungan kepada kita,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Baca artikel berkaitan: UMNO hanya akan berpakat dengan pihak mempunyai agenda bersama – Mohamad

Mengulas lanjut, Mohamad turut memberi teguran kepada parti agar menyelesaikan masalah dalaman sebelum menghadapi PRU-15 nanti.

Tegas beliau, penyelesaian masalah itu amat penting agar UMNO dapat bergerak sebagai satu pasukan.

“Saya terhidu banyak perbalahan di Terengganu. Jangan disebabkan seekor dua kerbau buat lumpur, semua terpalit.

“Saya tidak mahu lagi ada dalam kalangan kita yang berebut jawatan dalam parti dan budaya ‘cah keting’.

“Fokus kita di Terengganu adalah untuk kekalkan 10 kerusi menang dan tawan semula 12 kerusi yang kita kalah,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, Mohamad memaklumkan perkara itu masih belum diputuskan.

Jelas beliau, BN sedia maklum mengenai perkara tersebut dan akan diputuskan dalam mesyuarat Isnin nanti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram