BARU-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan menjadi mangsa ‘serangan’ penggodam apabila akaun aplikasi Telegram dan Signal peribadi miliknya telah digodam.

Kedua-dua akaun itu dipercayai digunakan pihak tidak bertanggungjawab bagi aktiviti jenayah penipuan.

Perdana Menteri turut menasihatkan pengguna aplikasi mudah alih supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggodam akaun.

Berita itu sekali gus memberi mesej jelas bahawa sesiapa pun terdedah dengan kegiatan jahat penggodam itu.

Sehubungan itu, bagi mengekang kegiatan penggodaman yang semakin berleluasa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengambil inisiatif untuk memperkenalkan aplikasi khas antipenggodam.

Baca artikel berkaitan: PM nasihatkan pengguna waspada akaun mudah alih digodam

Aplikasi khas tersebut akan diperkenalkan kepada pengguna tidak lama lagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan pertemuan dengan pemilik aplikasi berkenaan akan diadakan di luar negara dalam masa terdekat.

Menurut Annuar, aplikasi antipenggodam itu boleh digunakan di semua peranti yang didaftarkan di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah memanggil Ahli Lembaga Pengarah Cyber Security Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi membincangkan perkara tersebut.

“Sekiranya ia berbayar, kita akan pastikan harga yang dikenakan adalah berpatutan dan sesuai untuk semua pihak.

“Saya juga sedang meminta supaya Cyber Security Malaysia (CSM) membuat kajian spesifik berhubung aplikasi ini kerana masih ada beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum dilancarkan kepada rakyat,” jelas beliau menurut laporan Bernama, baru-baru ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram