Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

POTENSI untuk Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat besar jika ia disegerakan.

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui situasi dalam BN ketika ini lebih baik daripada pembangkang yang dilihat berada dalam keadaan berantakan.

Menurut Ahmad Zahid, pimpinan parti dan akar umbi UMNO sangat yakin ketika ini adalah waktu terbaik untuk menyegerakan PRU-15.  

“Sudah banyak kali sudah dijelaskan justifikasi. Yang penting UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum bubar parlimen untuk menyerang BN.

“Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang. 

“Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Baca artikel berkaitan: BN Johor jangan terlalu selesa kemenangan besar PRN

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk mengugat keyakinan akar umbi UMNO BN.

Menurut beliau, isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.  

“Dengan kata lain, mereka serang, spin dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah terbaik walaupun PH berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya hingga Perdana Menteri mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri  PH, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa mengakui bahawa pendirian Umno yang mahukan pilihan PRU-15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

Jelas beliau, berdasarkan temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.

“Beliau terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia.

“UMNO sudah membuat pendirian tersebut sudah lama pun. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti UMNO.

“Segerakanlah atau UMNO BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram