PAKATAN Harapan (PH) dan isu logo seakan tidak berkesudahan. Ada sahaja yang berbangkit.
Meski pagi tadi Majlis Presiden PH mengeluarkan kenyataan memaklumkan gabungan itu akan menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, rupanya ia tidak melibatkan seluruh negara.
Sebaliknya ia terpakai secara pasti untuk negeri-negeri di Semenanjung sahaja.
Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi Sabah dan Sarawak, PH negeri diberikan kebebasan untuk memutuskan sama ada mereka mahu menggunakan logo gabungan parti itu atau logo masing-masing pada PRU-15.
“Ini kerana pendirian kita adalah menghormati keputusan pimpinan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Presiden PKR itu berkata demikian dalam rakaman suara yang dikongsi kepada media menerusi kumpulan WhatsApp hari ini.
Pada PRU-14 lalu, parti gabungan PH sepakat menggunakan logo PKR namun di Sarawak, DAP negeri itu tetap menggunakan logo ‘roket’.
Baca: PKR guna logo sendiri, yang lain pakai logo PH
PRN Sarawak: PH tak pakai logo PH
Selepas PH sah didaftarkan, isu logo terus berbangkit pada tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Di Melaka, Majlis Presiden PH akhirnya sepakat menggunakan logo gabungan itu namun di Johor Mac lalu, PKR memilih menggunakan logo sendiri.
Pada PRN Sarawak sebelumnya, logo PH tidak digunakan sebaliknya guna logo parti sendiri.
Anwar berkata keputusan untuk menggunakan satu logo adalah kerana tidak mahu gabungan itu dilihat seolah-olah berpecah seperti mana yang pernah dilakukan PH pada PRN Johor, Mac lepas yang menurutnya telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengundi.

