ISU Tanah Rizab Melayu memerlukan orientasi penyelesaian berbentuk tindakan bagi melindungi hak perlembagaan orang Melayu dan bumiputera.
Tindakan itu pula perlu dilakukan segera dan komprehensif bagi mengelakkan isu penyusutan keluasan Tanah Rizab Melayu terus berlarutan.
Bagi tujuan itu, beberapa ahli panel dan peserta sesi Randau Wasiat Raja-Raja mengenai Tanah Rizab Melayu mendesak supaya sebuah kementerian khusus ditubuhkan.
Menurut seorang ahli panel dalam program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu, Zaharah Sulaiman, keadaan sudah sangat mendesak untuk kerajaan menubuhkan Kementerian Khas Tanah dan Hak Pribumi.
Beliau yang juga Penyelidik dan Pengkaji Sejarah, Institut Arkeologi Malaysia berkata, salah satu Wasiat Raja-Raja Melayu ialah berkenaan tanah yang kemudian termaktub dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.
Ujar Zaharah, menerusi peruntukan itu telah ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan Semenanjung Tanah Melayu adalah terdiri daripada Tanah Rizab Melayu.
“Tapi kita masih tak ada kementerian yang menjaga kawasan seluas ini.
“Penubuhan kementerian ini sangat penting bagi memudahkan perancangan dan pembangunan secara holistik Tanah Rizab Melayu yang turut merangkumi aspek komersial,” katanya.
Zaharah yang banyak menjalankan penyelidikan berhubung Tanah Rizab Melayu pada masa sama membangkitkan ada sebahagian Tanah Rizab Melayu di negeri-negeri tertentu yang berada jauh di pedalaman termasuklah hutan.
Katanya, walaupun dari segi peratusan keluasan Tanah Rizab Melayu itu tinggi, namun timbul persoalan sudut nilainya atau komersial.
“Ia bermula dengan peninggalan British pasca kemerdekaan yang mewartakan Tanah Rizab Melayu di lembah atau hutan.
“Justeru, kita cadang supaya tanah seperti itu dipulang kepada kerajaan negeri dan digantikan balik di lokasi lain,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof mengingatkan pihak berkuasa yang Tanah Rizab Melayu yang diwarta keluar wajib diganti dengan keluasan sama.
Katanya, ini adalah tanggungjawab Perlembagaan tetapi pada masa sama ada isu ekonomi dalam soal ini.
“Misalnya jika 10 ekar Tanah Rizab Melayu di Shah Alam diwarta keluar. Hendak cari di lokasi sama mungkin sukar.
“Jika digantikan tanah 10 ekar Shah Alam dengan tanah di Batang Kali, sudah tentulah perlu digandakan kepada 100 ekar keluasannya supaya wujud persamaan nilai,” ujar beliau.

Baca: MPM anjur Randau Wasiat Raja-Raja Tanah Melayu
Kerajaan Negeri setuju tubuh Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah
Nik Zain yang pernah menjadi Setiausaha Majlis Tanah Negara sebelum bersara dua dekad lalu berkata, berdasarkan laporan audit 2013, Tanah Rizab Melayu adalah kira-kira 31 peratus daripada keluasan Semenanjung.
“Dari segi tanah komersial pula, yang dimiliki orang atau syarikat Melayu hanya dua peratus,” kata beliau.
Peguam, Khairul Azam Abdul Aziz yang juga ahli panel pada sesi randau itu mendedahkan ada Tanah Rizab Melayu yang pemiliknya bukan Melayu.
Katanya, maklumat mengejutkan ini diperoleh beliau hasil pencarian di Pejabat Tanah dan hal tersebut tidak boleh diambil mudah sama ada wujud ‘magik’ atau akibat kelemahan undang-undang menerusi pemilikan syarikat.
“Status syarikat dikira Melayu jika 50 peratus sahamnya dimiliki bumiputera. Malangnya ada orang kita rela nama ‘digunakan’ sedangkan hakikatnya syarikat diusahakan kaum lain.
“Sebab itu, jika ada Tanah Rizab Melayu dimiliki bukan Melayu menerusi syarikat, ia perlu digantikan dengan keluasan sama,” katanya.
Beliau pada masa sama menambah, perjuangan untuk membela hak Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan jika dibuat menerusi saluran perundangan memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Lagi pula kita terbatas dari segi maklumat untuk memulakan tindakan kerana kita bukan di pihak yang ada kuasa seperti agensi penyiasatan.
“Apa pun, yang di tampuk kuasa orang kita. Sama ada politik atau pentadbiran, kena buat sesuatu,” ujarnya.
Sementara itu, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu mahu tindakan tegas diambil pihak berkuasa dalam isu ini.
Menurutnya, beliau sendiri secara peribadi tidak boleh bertoleransi kerana bimbang masa depan generasi Melayu akan datang.
“Apa tindakan seterusnya? Selagi bercakap sahaja, maka selagi itulah tiada penyelesaian.
“Veteran tentera mahu minta tanah pun dah tak ada,” katanya sambil mengajak orang Melayu terus memberi teguran dalam isu Tanah Rizab Melayu.
Yang hadir sama, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad dan Ketua Biro Tanah MPM, Che Ibrahim Che Idris.

