KPM umum tujuh pendekatan atasi isu beg berat melibatkan murid sekolah rendah. GAMBAR: Abd Razak Aid

FASA satu bagi proses pemasangan lokar di sekolah rendah seluruh negara akan bermula hujung bulan ini selaras dengan usaha mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid-murid.

Memetik laporan BH Online, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan, pelaksanaan fasa satu inisiatif tersebut akan mula dilakukan di sekolah dua sesi.

Menurut beliau, ia membabitkan murid Tahun Satu dan Dua.

Radzi turut menjangkakan perolehan bagi inisiatif tersebut dapat dilaksanakan ke sekolah yang disenaraikan dalam fasa satu itu menjelang Oktober.

“Dalam fasa satu ini, kita pasang lokar untuk murid Tahun Satu dan Dua. Kita akan mula pasang lokar di sekolah pada penghujung bulan ni.

“Jadi Oktober nanti, kita akan cuba ikhtiar supaya semua perolehan tu sampai dan dipasang di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus dengan Editor Kanan Media, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Isu beg berat: Sedia lokar, susun semula jadual waktu antara tujuh pendekatan – Radzi

Mac lalu, Radzi dalam rakaman video dimuatnaik ke Facebook miliknya memaklumkan tujuh pendekatan ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid sekolah.

Tujuh ketetapan itu termasuk penyediaan lokar di sekolah dan penyusunan jadual waktu.

KPM memutuskan untuk menyediakan lokar peribadi kepada setiap murid di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi dengan pendekatan itu dilaksanakan melalui dua fasa.

Dalam fasa pertama, Radzi berkata, lokar akan disediakan bagi murid tahap satu iaitu Tahun 1, 2 dan 3 melibatkan sebanyak 10,662 kelas dengan 323,186 murid di seluruh negara.

“Penyediaan lokar ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta.

“Bagi fasa dua pula, penyediaan lokar akan diperluas kepada murid Tahap Dua iaitu Tahun 4, 5 dan 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi pada tahun 2023.

“Bagi murid sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di laci meja bilik darjah masing-masing. Ini merupakan satu pendekatan baharu buat pertama kali dilaksanakan KPM,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram