BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dilaporkan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam kerana sakit perut.
Perkara tersebut dimaklumkan anak Ahli Parlimen Pekan itu, Nooryana Najwa menerusi Instagram Story, hari ini.
Menurut Nooryana Najwa, bapanya memang mengalami masalah berulang pada perut dan terdedah kepada ulser perut ketika berada di bawah tekanan atau disebabkan gastrik.
Nooryana Najwa memberitahu, kali terakhir ulser Najib berdarah adalah pada tahun lalu.
“Beliau tidak sedar dengan keadaan itu sehingga berasa pitam disebabkan pendarahan dalaman dan terpaksa dimasukkan ke hospital selama seminggu.
“Pada tahun 2010, beliau juga pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan ulser perut berdarah selama tiga hari,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel berkaitan: Najib masuk hospital, keadaan stabil

Mengulas lanjut, Nooryana Najwa berkata, bapanya bukanlah seorang yang senang mengadu jika berasa tidak sihat kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.
Jelasnya, dua kejadian yang berlaku sebelum ini diketahui sangat lewat sekali gus memaksa rawatan kesihatan yang serius termasuk pemindahan darah.
“Kami sangat berharap daddy mendapat pemeriksaan konsisten dan rawatan, jika diperlukan oleh pihak penjara dan hospital.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kekuatan daddy.
“Tolong jagakan daddy kami dan Bossku. Dia amat bermakna buat kami. Semoga Allah merahmati kami semua,” katanya.
Semalam, media melaporkan Najib telah dimasukkan ke hospital namun berada dalam keadaan stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.
Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tengku Maimun dipetik berkata, sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

