Bangunan KWSP yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. GAMBAR: ABD RAZAK AID

INDIVIDU yang bersara dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun akan datang perlu mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM900,000 sehingga RM1 juta.

Menurut laporan The Star yang memetik Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein, jumlah RM1 juta itu adalah ‘kadar minimum’ simpanan selepas ditolak beberapa faktor lain termasuk inflasi dan bil perubatan.

Menurut Nurhisham, bagi individu yang akan bersara dalam tempoh beberapa tahun akan datang, seseorang memerlukan kira-kira RM600,000 untuk mempunyai persaraan ‘bermaruah’ di Kuala Lumpur.

Katanya, jumlah RM600,000 itu hanya boleh menampung keperluan perubatan biasa pesakit luar atau rawatan biasa dan bukannya sebarang keperluan perubatan utama.

“Apabila anda melihat nilai ambang simpanan RM600,000, hanya kira-kira empat peratus rakyat Malaysia mampu bersara.

“Jumlah simpanan itu rendah sedikit jika berada di luar Lembah Klang,” katanya.

Berdasarkan pengiraan KWSP, Nurhisham memaklumkan, Alor Setar di Kedah merupakan lokasi paling murah untuk seseorang itu bersara dengan selesa.

Namun begitu, kata beliau, seseorang yang mahu bersara di Alor Setar pun memerlukan RM480,000 iaitu dua kali ganda nilai ambang asas untuk simpanan persaraan iaitu sebanyak RM240,000.

Baca artikel berkaitan: RM145 bilion simpanan ahli KWSP dikeluarkan sejak pandemik

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia telah menjangkau golongan masyarakat yang semakin menua.

Katanya, kira-kira 56 peratus pencarum yang berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

“Dengan RM50,000, seseorang itu hanya boleh bertahan selama empat tahun lebih dengan mengandaikan perbelanjaan mereka berjumlah RM1,000 sebulan.

“Ketika ini, kira-kira 52 peratus ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka manakala kira-kira 27 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Itu agak membimbangkan. Jelas sekali, saya fikir pengeluaran mempunyai kesan besar terhadap kadar simpanan persaraan yang mencukupi,” jelas beliau.

Sebelum penularan wabak COVID-19, kira-kira 22 peratus ahli memenuhi keperluan asas simpanan tetapi jumlah tersebut menurun kepada 14 peratus.

Ia selepas beberapa pusingan skim pengeluaran khas iaitu i-Sinar, i-Lestari, i-Citra dan kemudahan pengeluaran khas.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dalam Sidang Dewan Negara memaklumkan pelaksanaan empat program tersebut telah menyebabkan simpanan ahli KWSP menjadi rendah dan sangat membimbangkan.

Jelasnya, impak program-program berkaitan COVID-19 tersebut ke atas simpanan ahli adalah dianggarkan sebanyak RM155 bilion.

Daripada jumlah tersebut RM145 bilion adalah pengeluaran ahli manakala hampir RM10 bilion lagi adalah program pengurangan kadar caruman berkanun syer pekerjaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram