SETIAUSAHA Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Farhan Abd Rahim berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa surat peletakan jawatan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Farhan juga berkata, tiada sebarang istiadat angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan pada 3 Januari ini seperti didakwa sesetengah pihak.
“Tun Mohd Ali akan mengadakan lawatan kerja Dunia Melayu Dunia Islam ke Sri Lanka pada 1 hingga 7 Januari depan, jadi tak mungkin istiadat angkat sumpah Ketua Menteri baharu berlaku pada 3 Januari seperti yang tular ketika ini.
“Lagi pun, pihak kami tidak menerima apa-apa maklumat atau surat letak jawatan daripada Datuk Seri Sulaiman, perkara itu hanya berlegar di media sosial sahaja.
“Berdasarkan jadual harian tun untuk tempoh seminggu ini, tidak ada apa-apa pertemuan rasmi dengan mana-mana pemimpin negeri setakat ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Baca artikel lain: PH perkauman? Ketua Pembangkang Perak dicabar ulangi dakwaan
Isu pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali diperkatakan susulan ada pihak mendakwa jawatan berkenaan bakal bertukar tangan awal bulan depan.
Malah, Sulaiman turut dikatakan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertua Negeri serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Spekulasi mula bertiup apabila tular di media sosial satu nota suara yang mendakwa wujud satu gerakan diketuai seorang pemimpin UMNO negeri untuk menjatuhkan Sulaiman sebagai Ketua Menteri.
Gerakan sulit berkenaan turut membabitkan beberapa pemimpin UMNO negeri dan bahagian Masjid Tanah dengan menamakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai pengganti.
Bagaimanapun, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri ketika ditemui baru-baru ini, enggan mengulas lanjut isu terbabit.
Sementara itu, sumber ibu pejabat UMNO mendakwa, surat peletakan jawatan Ketua Menteri diserahkan sendiri Sulaiman kepada Ahmad Zahid pada 8 Disember lalu.
Sumber memaklumkan, surat berkenaan dihantar menerusi serah tangan kepada Ahmad Zahid sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terakhir kira-kira jam 8.30 malam di Menara Datuk Onn.
Bagaimanapun, kata sumber, keputusan mengenai permohonan Sulaiman itu masih tergantung sehingga diumumkan sendiri oleh Presiden parti.
Sumber memaklumkan, beberapa pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu ini diredakan bagi memastikan perancangan pembangunan serta meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat dapat dilaksanakan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram