USUL tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan parti yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Sabtu lalu disifatkan bertentangan perlembagaan parti.
Perkara tersebut ditegaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Kata beliau, perlembagaan parti menyebut dengan jelas bahawa pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan.
“Walaupun PAU merupakan yang tertinggi dalam parti tetapi apa yang dilakukan dalam PAU tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan parti.
“Seperti di Parlimen, walaupun kita boleh gubal akta tetapi ia tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika bertentangan, ia tidak boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melawat seorang kanak-kanak lelaki disyaki mangsa dera yang ditinggalkan bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Apartment Cheras Utama, Batu 9, Cheras, Sabtu lalu.
Baca artikel berkaitan: ‘Keangkuhan’, kejahilan akan ‘semadikan’ UMNO
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan keputusan PAU 2022 berhak bersuara dengan mengemukakan bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ia termasuk kelulusan usul tambahan berhubung dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum 19 Mei depan.
Walaupun tidak bersetuju, namun Ismail Sabri berkata, beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) akur dengan keputusan yang telah dilaksanakan perwakilan.
“Saya sebagai (MT) sudah tentu tidak akan mengambil tindakan tetapi mana-mana ahli berhak berbuat demikian dan terserah kepada mereka.
“Bukan bawa ke mahkamah sebaliknya ke RoS. Keputusan parti tidak boleh dicabar di peringkat mahkamah kerana tertakluk kepada Seksyen 18 C Akta Persatuan menetapkan bahawa keputusan membabitkan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

