TIDAK menjadi satu kesalahan untuk menggunakan naratif kaum dan agama terutama di media sosial selagi ia menepati Perlembagaan.
Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan FMT.
Menurut Tuan Ibrahim, isu yang dibangkitkan seperti hak orang Melayu merupakan perkara yang dijamin dalam Perlembagaan.
Kata beliau, isu-isu lain seperti bahasa dan budaya Melayu juga menjadi teras kebudayaan nasional serta Islam.
Berhubung naratif agama, Tuan Ibrahim menganggap perkara tersebut sebagai ‘penjelasan agar tidak berlaku pelanggaran syariat dalam kehidupan’.
“Bagi kami (Pas), Islam telah menggariskan batas dalam kehidupan dan semua pihak mesti menjaga batas syariat itu agar ia menepati dasar dan peraturan bernegara,” katanya.
Beliau mengulas kajian Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) ke atas media sosial pada PRU15, yang mendapati bahan berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan ‘menguasai’ platform media sosial utama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Baca artikel berkaitan: Ada pihak temui Tuan Ibrahim buat tawaran sertai kerajaan
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam media sosial adalah selaras dengan apa yang disyariatkan dalam al-Quran.
Pada masa sama, kata beliau, dakwaan bahawa Pas berjaya mempengaruhi sejumlah besar pengundi disebabkan mainan naratif sedemikian sebenarnya disebabkan rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Presiden (Abdul Hadi) menggunakan fakta dalam kerangka kaum dan bangsa yang selaras dengan apa yang dinyatakan Allah dalam al-Quran.
“Selama ini sokongan kepada Pas tidak sehebat PRU lalu, walaupun tulisan Presiden bukanlah baru,” jelas beliau.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memantau hantaran berkisarkan naratif kaum dan agama yang dimainkan pemimpin politik di laman sosial untuk diambil tindakan.
Ahmad Zahid berkata, laporan CIJ menjelaskan orang politik menggunakan isu agama dan perkauman menerusi laman sosial untuk kepentingan politik.
Laporan CIJ itu berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dicetuskan ahli politik yang menguasai platform media sosial utama di negara ini ketika PRU-15.
Ia antara analisis dan dapatan utama kajian Pemantauan Media Sosial Pada PRU-15 oleh CIJ dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

