PERTUDUHAN ke atas anak lelaki kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa menerima rasuah RM100,000 disifatkan salah satu siri perancangan pembunuhan karakter politik.
Hamzah dalam kenyataan mendakwa, pendakwaan terbaharu ke atas anak lelakinya itu sebenarnya ditujukan kepada diri beliau sebagai Ketua Pembangkang.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu mendakwa, siri perancangan pembunuhan karakter politik terbaharu itu dilaksanakan setelah segala usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan telah pun gagal.
Malah, Hamzah mendakwa kerajaan telah gagal dalam mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Bersatu termasuk dirinya.
“Tak dapat tanduk, telinga dipulas. Pendakwaan terbaru ke atas anak saya adalah siri perancangan pembunuhan karakter politik yang sebenarnya ditujukan kepada saya sebagai Ketua Pembangkang.
“Ini merupakan taktik lapuk yang memperlihatkan kemandulan Kerajaan PH-BN dalam usaha terdesak mereka menutup mulut pengkritik dengan menyasarkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan ahli keluarga mereka.
“Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Baca artikel lain: Anak Hamzah Zainuddin didakwa terima suapan RM100,000
Pagi tadi, anak lelaki Hamzah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan menerima rasuah RM100,000 dengan menggunakan pengaruhnya bagi mendapatkan tender sebuah syarikat, enam tahun lalu.
Muhammad Faisal Hamzah, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Faisal didakwa telah secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM100,000 daripada seorang lelaki, sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. dan Syarikat Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimiliki oleh Muhammad Faisal.
Syarikat-syarikat itu seterusnya dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan Tender No. SSM 1/2017 ‘Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure’ bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, pada Mac 2018.
Justeru Muhammad Faisal didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.
Sabit kesalahan, Muhammad Faisal boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

