Blok pembangkang Pahang zahir taat setia kepada Sultan, sokong penuh titah Tengku Mahkota

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

BLOK pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menzahirkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada masa sama, blok pembangkang DUN Pahang yang terdiri daripada 17 ADUN dari Perikatan Nasional (PN) itu turut mengikrarkan taat setia kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ikrar taat setia itu kepada Sultan Pahang, Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang dalam menjalankan tugas sebagai ‘payung’ tempat rakyat bernaung.

“ADUN PN Pahang juga menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.

“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim yang juga TImbalan Presiden Pas itu menyusul sehari selepas Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin meminta semua ADUN negeri itu menyatakan pendirian berhubung kenyataan Muhyiddin kerana Sultan Pahang adalah sebahagian daripada dewan perundangan negeri.

Selain itu, tegas Mohd Sharkar, isu itu juga membabitkan ‘air muka’ dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri.

Baca artikel lain: Rakaman percakapan Muhyiddin ditangguhkan ke esok

DUN Pahang mengandungi 47 kerusi, termasuk lima ADUN lantikan. Daripada 17 ADUN pembangkang, PAS menyandang 15 kerusi, dua lagi diwakili BERSATU. Baki 20 kerusi lagi, termasuk tiga ADUN lantikan disandang Barisan Nasional (BN) dan 10 yang lain, termasuk dua ADUN lantikan diwakili Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan atas tindakan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN secara sinis memperlekeh tugas Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Baginda bertitah, kenyataan bekas Perdana Menteri itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri.

Titahnya, tindakan Muhyiddin juga kelihatan tidak matang dan menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan tak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Justeru, Tengku Hassanal mahu pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook, juga menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anggota MALBATT 850-13 bertugas di Selatan Lubnan selamat – ATM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan...

More Articles Like This