Astro Audio menyambut baik keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra), yang merangkumi ERA FM, MIX FM dan MELODY FM.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan kepada media, Astro Audio turut mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan ke atas Maestra dan akan berhubung terus dengan MCMC.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, pihaknya sangat berbangga dengan perkhidmatan yang disediakan, digemari oleh individu dan keluarga dari segenap lapisan masyarakat di seluruh Malaysia.
“Kami kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaian dan perpaduan dalam setiap perkara yang dilakukan serta mengakui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di ERA FM terhadap sebahagian masyarakat yang dilayani.
ARTIKEL BERKAITAN: Lesen radio Era FM tak digantung tapi kena kompaun RM250,000 – MCMC
“Fokus kami kini adalah untuk membina semula kepercayaan yang telah dipupuk sekian lama oleh ERA FM bersama para pendengarnya.
“Pada masa yang sama, kami terus memberikan sokongan penuh kepada semua individu terlibat sambil beriltizam untuk berusaha belajar, menambah baik dan memastikan kandungan kami mencerminkan nilai-nilai saling menghormati dan terangkum,” katanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

