MALAYSIA dan China senada untuk terus mempertingkat kerjasama strategik khususnya melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung di Kuala Lumpur, esok.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Qiang atas komitmen tinggi China memperkukuh kerjasama serantau di masa hadapan.
Menurut Anwar, beliau dan Qiang sepakat supaya kedua-dua negara meningkatkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang tumpuan.
Katanya, ia termasuk ekonomi, industri halal, perdagangan, pengangkutan terutama berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tenaga hijau serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan.
Baca artikel lain: ASEAN-BAC main peranan penting kemuka cadangan strategik – PM
“Saya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global.
“Ia secara tidak langsung menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat serantau dan global. Kerjasama erat ini amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN.
“Semoga Sidang Kemuncak ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi rantau secara menyeluruh,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan.
Turut akan berlangsung esok, ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan usaha ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

