Pemilik syarikat terlibat sindiket isytihar palsu barang import direman, akaun RM160 juta dibekukan

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pemilik syarikat kerana disyaki terlibat dalam sindiket isytihar palsu barang import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Klang.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April ini terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 5 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM sekitar Lembah Klang.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2020 dengan menjadi ‘runner’ bagi individu, syarikat dan juga ejen penghantaran yang menguruskan kemasukan barang-barang import di Pelabuhan Klang.

“Suspek yang juga dipercayai salah seorang ahli sindiket terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kontraban daripada pelbagai negara pengeksport dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering,” katanya.

Semalam satu operasi bersepadu antara SPRM dan Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), JKDM dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah dijalankan menerusi Op Celio.

Sehubungan itu, penggeledahan telah dijalankan di 14 buah lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun, operasi tersebut menyasarkan 28 entiti yang terdiri daripada syarikat dan individu melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak Kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.

Siasatan yang dilakukan BOK ini turut mempercayai sindiket itu memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi aktiviti haram tersebut selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 133 akaun bank persendirian serta syarikat yang berjumlah kira-kira RM160 juta.
Aktiviti tersebut turut menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil duti kastam mencecah kira-kira RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan operasi tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tambah beliau, Op Celio akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan lagi 14 premis melibatkan kediaman serta syarikat dan juga ejen penghantaran sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Ahmad Samsuri pula sah hadir ke Konvensyen RESET

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan kehadirannya ke Konvensyen RESET Malaysia yang akan...

More Articles Like This