TINDAKAN beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan menganjurkan konvoi Mat Motor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, lapangan terbang merupakan kawasan strategik dan keselamatannya perlu dipelihara sepanjang masa untuk memastikan perjalanan penumpang lancar dan tidak tergganggu.
“Sekiranya terdapat sebarang kesesakan yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan mereka, adakah pihak penganjur bertanggungjawab untuk membayar pampasan tiket penerbangan mereka?
“Sebarang konvoi bermotor juga sepatutnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Adakah pihak penganjur telah mendapat kelulusan?,” soalnya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Katanya, untuk menjamin keselamatan dan kelancaran operasi lapangan terbang, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik mengadakan sekatan jalan raya petang ini.
“Ini termasuk memeriksa semua motosikal yang memasuki kawasan lapangan terbang pada petang ini tanpa kecuali termasuklah mana-mana YB yang membawa motor,” tegasnya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

